Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Sim Lim Square akan dijual secara en bloc pada harga S$1.3 bilion

Sim Lim Square akan ditawarkan untuk penjualan secara kolektif (en bloc) selepas sekurang-kurangnya 80 peratus pemiliknya bersetuju dengan usulan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Sim Lim Square akan dijual secara en bloc pada harga S$1.3 bilion

Sim Lim Square (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 21 Mar 2019 04:16PM Dikemas Kini : 21 Mar 2019 04:19PM

SINGAPURA: Sim Lim Square akan ditawarkan untuk penjualan secara kolektif (en bloc) selepas sekurang-kurangnya 80 peratus pemiliknya bersetuju dengan usulan tersebut.

Pusat beli-belah yang terletak di Rochor Canal Road itu akan dijual pada harga S$1.3 bilion, menurut ketua jawatankuasa penjualan Vikas Gupta kepada Mediacorp pada lewat Rabu (20 Mac).

Beliau turut mendedahkan bahawa 80.82 peratus pemilik berdasarkan nilai saham dan 81.43 peratus pemilik mengikut saiz strata mengundi untuk menjual pusat beli-belah itu.

Jawatankuasa tersebut berjaya melepasi paras 80 peratus yang diperlukan pada Selasa, satu proses yang disifatkan oleh Encik Gupta sebagai "mencabar".

Dokumen tender sedang dimuktamadkan dan ejen pemasaran dijangka akan menghubungi para bakal pembeli sebelum hujung bulan April.

Harga yang diminta adalah lebih tinggi daripada tawaran asal S$1.1 bilion semasa para pemilik mula mendapatkan persetujuan bagi penjualan en bloc setahun yang lalu.

Menurut Encik Gupta, sejak jawatankuasa tersebut mula mengusulkan idea penjualan en bloc dua tahun lalu, syarat-syarat urus niaga bagi landskap runcit sudah berubah.

Sebelum ini, para pemilik pernah memberitahu Mediacorp bahawa jumlah pengunjung semakin berkurangan meskipun stesen MRT Rochor di Laluan Downtown yang terletak berdekatan sudah dibuka secara rasmi.

Seorang pemilik yang mempunyai beberapa buah kedai yang tidak mahu identitinya didedahkan berkata beliau memilih penjualan en bloc kerana pusat beli-belah itu sudah "mencapai matlamatnya" untuk membantu para peniaga mengaut keuntungan, malah menjadikan sesetengah peniaga sebagai jutawan.

"Perubahan perlu berlaku. Bangunan semakin usang, begitu juga dengan pemilik bangunan," kata beliau.

Perniagaan yang semakin lembab akibat e-dagang turut menjadi salah satu faktor yang membuat beliau memutuskan untuk ikut serta dalam penjualan en bloc.

Seorang pemilik kedai yang berusia dalam lingkungan 50-an tahun berkata beliau diberitahu tentang penjualan itu menerusi kumpulan sembang WhatsApp.

Beliau bersetuju dengan penjualan kolektif kerana beliau beranggapan sudah masa untuk beliau bersara. Beliau menganggarkan akan menerima sekitar S$1.2 juta jika perjanjian itu dipersetujui.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan