SIA, SilkAir sambung semula penerbangan ke beberapa destinasi pada Jun, Julai
Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan SilkAir akan menyambung semula penerbangan ke beberapa destinasi tertentu pada Jun dan Julai, tertakluk pada kelulusan pengawalselia.

Pesawat Singapore Airlines. (Gambar fail: REUTERS/Arnd Wiegmann)
SINGAPURA: Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan SilkAir akan menyambung semula penerbangan ke beberapa destinasi tertentu pada Jun dan Julai, tertakluk pada kelulusan pengawalselia.
Antara jadual penerbangan yang akan disambung semula termasuk ke Adelaide, Amsterdam, Auckland, Barcelona, Brisbane, Cebu, Christchurch, Copenhagen, Hong Kong, Medan, Melbourne dan Osaka, menurut SIA di lamannya.
Syarikat penerbangan negara itu pada 14 Mei melaporkan kerugian tahunan pertamanya sebanyak S$212 juta dalam 48 tahun sejarahnya, setelah pandemik COVID-19 menjejas teruk permintaan penerbangan. Ini berbanding keuntungan S$683 juta pada tahun sebelumnya.
Kumpulan itu mengumumkan pada Mac lalu bahawa ia akan mengurangkan 96 peratus kapasitinya dan menggantung 138 daripada 147 pesawat SIA dan SilkAir.
Dengan penerbangan yang bakal disambung semula itu, SIA mengurangkan sekitar 94 peratus daripada kapasiti penumpang yang sebelum ini dijadualkan untuk Jun dan Julai, menurutnya.
"SIA dan SilkAir akan terus menyesuaikan kapasiti kita bagi memenuhi permintaan bagi penerbangan antarabangsa," menurut SIA.
Para penumpang yang penerbangan mereka dibatalkan boleh menyimpan nilai penuh bahagian tiket yang tidak digunakan sebagai kredit penerbangan. Kredit ini boleh digunakan untuk membuat tempahan tiket penerbangan baru sehingga 31 Disember tahun depan.
Para pelanggan juga akan diberikan bonus kredit penerbangan apabila menempah semula tiket penerbangan, menurut SIA.
"Ini adalah cara kita menunjukkan penghargaan kepada pelanggan atas sokongan mereka semasa tempoh mencabar ini," ujar SIA.
Permohonan bagi tempahan semula tiket boleh dihantar melalui borang online. Para pelanggan yang membeli tiket menerusi agensi pelancongan harus menghubungi ejen masing-masing untuk mendapatkan bantuan.
PELAWAT BOLEH SINGGAH DI CHANGI MULAI 2 JUN
Mulai Selasa (2 Jun), Singapura membenarkan pelawat transit menerusi Lapangan Terbang Changi, sebagai sebahagian daripada strategi negara ini untuk membuka semula pengangkutan udara secara bertahap selepas langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 selama hampir dua bulan.
"Langkah-langkah ketat" akan dilaksanakan bagi memastikan penumpang kekal di kemudahan yang ditetapkan di kawasan persinggahan dan tidak bercampur dengan penumpang lain di lapangan terbang, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 20 Mei.
Menurut SIA, ia akan mengumumkan rancangannya bagi laluan persinggahan di lapangan terbang itu apabila ia dimuktamadkan.
"Buat masa ini, penumpang Singapore AIrlines tidak dibenarkan melakukan persinggahan di Lapangan Terbang Changi," menurut SIA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.