Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

SIA selesai potong gaji MVC semua kakitangan berpangkalan di S'pura

Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) sudahpun selesai melakukan pemotongan gaji bagi komponen berubah-ubah bulanan (MVC) untuk kakitangannya yang berpangkalan di Singapura. Pemotongan itu dilaksanakan tahun lalu apabila pendapatan syarikat berkenaan menjunam akibat COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
SIA selesai potong gaji MVC semua kakitangan berpangkalan di S'pura

Pesawat Airbus A380 SIA. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 13 Aug 2021 02:56PM Dikemas Kini : 13 Aug 2021 09:05PM

SINGAPURA: Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) sudahpun selesai melakukan pemotongan gaji bagi komponen berubah-ubah bulanan (MVC) untuk kakitangannya yang berpangkalan di Singapura. Pemotongan itu dilaksanakan tahun lalu apabila pendapatan syarikat berkenaan menjunam akibat COVID-19.

Pada Jumaat (13 Ogos), seorang jurucakap SIA memberitahu Mediacorp bahawa syarikat penerbangan itu sudahpun berhenti membuat pemotongan MVC mulai 1 Ogos.

Bagaimanapun, pemotongan gaji tambahan bagi juruterbang diteruskan sebagaimana dalam perjanjian bersama kesatuan Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan - Singapura (ALPA-S) pada September tahun lalu untuk mengurangkan kehilangan pekerjaan bagi juruterbang.

Para pegawai pengurusan kanan juga akan terus menyaksikan pemotongan gaji tambahan ke atas pendapatan asas - kekal pada 15 peratus bagi naib presiden kanan, 20 peratus untuk naib presiden eksekutif dan 25 peratus bagi ketua pegawai eksekutif.

Anggota lembaga juga akan terus menyaksikan pemotongan 30 peratus pada yuran mereka sebagai menunjukkan semangat perpaduan bersama dengan pihak pengurusan, menurut jurucakap itu.

ANGGOTA KAKITANGAN BERKURANGAN 20%

Langkah-langkah SIA untuk mengurangkan perbelanjaan sebagai respons terhadap pandemik COVID-19 terus dilaksanakan termasuk "merundingkan semula kontrak bersama pembekal, menangguhkan projek tidak penting dan mengawal ketat perbelanjaan budi bicara".

Anggota kakitangan pula 20 peratus lebih rendah berbanding tahap sebelum pandemik akibat pelbagai langkah yang diambil, menurut jurucakap berkenaan.

Ini termasuk membekukan pengambilan pekerja, cuti tanpa gaji, pemotongan gaji lebih tinggi, skim pelepasan secara sukarela dan pemberhentian pekerja pada September tahun lalu.

Sekitar 4,300 jawatan digugurkan di kesemua tiga syarikat penerbangan SIA - 2,400 pekerja terjejas oleh pengurangan pekerjaan dengan lagi 1,900 jawatan digugurkan melalui langkah-langkah seperti pembekuan pengambilan pekerja dan skim persaraan awal.

"Sejak langkah pemberhentian pekerja, kami mengalami kekurangan tenaga kerja lebih tinggi dalam kalangan kakitangan di lapangan dan anak kapal kami. Kakitangan kami juga terus mengalami pemotongan gaji mereka selama lebih setahun setengah." kata jurucakap itu.

"Kehilangan sumber serta kemampuan penting akan menghalang kemampuan kami untuk pulih, dan menghalang usaha kami untuk memastikan SIA Group dan sektor penerbangan Singapura bangkit lebih kukuh."

Jurucakap itu menambah SIA mesti mengekalkan bakat sedia ada dan terus berupaya memikat serta merekrut bakat baru sedang ia beransur pulih.

Pada Mac, SIA Group melaporkan kemerosotan 90.2 peratus pada keseluruhan pengangkutan penumpang berbanding setahun sebelumnya.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan