Skip to main content

Kewangan

SIA, Scoot raih 5 bintang bagi keselamatan penerbangan COVID-19 dari Skytrax

Singapore Airlines (SIA) dan Scoot, dua syarikat penerbangan dalam SIA Group, telah mendapat anugerah tertinggi 5 bintang dalam audit keselamatan COVID-19, bagi syarikat penerbangan dari Skytrax.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA, Scoot raih 5 bintang bagi keselamatan penerbangan COVID-19 dari Skytrax

(Gambar: Roslan RAHMAN/AFP)

Diterbitkan : 10 Aug 2021 04:07PM Dikemas Kini : 10 Aug 2021 04:13PM

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) dan Scoot, dua syarikat penerbangan dalam SIA Group, telah mendapat anugerah tertinggi 5 bintang dalam audit keselamatan COVID-19, bagi syarikat penerbangan dari Skytrax.

Demikian diumumkan syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan media bersama pada Selasa (10 Ogos).

Anugerah Rating 5-Bintang Keselamatan Penerbangan COVID-19 oleh Skytrax itu merupakan penanda aras kecemerlangan global syarikat penerbangan.

Scoot adalah syarikat penerbangan tambang murah pertama di dunia yang mendapat pengiktirafan 5-Bintang ini dari Skytrax.

Keputusan ini ditentukan melalui penilaian menyeluruh mengenai langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang dilaksanakan syarikat penerbangan bagi pelanggan dan anggota kakitangan sepanjang penerbangan.

Skytrax menilai lebih daripada 190 protokol keselamatan dan kebersihan di SIA dan Scoot semasa audit tersebut. Ini termasuk tahap kebersihan di lapangan terbang dan dalam penerbangan, langkah-langkah jarak sosial, penggunaan pelitup dan cecair pembersih sanitiser, serta sistem peningkatan kebersihan yang lainnya.

Dapatan ini kemudian disahkan berdasarkan penyelidikan profesional dan saintifik mengenai piawai syarikat penerbangan.

Naib presiden eksekutif komersil SIA, Lee Lik Hsin, berkata: “Sejak bermulanya pandemik ini, kami telah mengkaji semula dan mengukuhkan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan di lebih 100 titik sentuh sepanjang perjalanan ini. Langkah ini menjadi proses yang berterusan, kerana keutamaan kami adalah memastikan keselamatan pelanggan dan kakitangan kami pada setiap masa. "

Tambahnya penilaian 5-Bintang dari Skytrax adalah "pengiktirafan yang amat dialu-alukan" atas komitmen syarikat penerbangan itu untuk mencapai matlamat tersebut.

"SIA telah lama diiktiraf dalam industri ini kerana menyediakan khidmat dan produk terbaik bagi pelanggan dan memenangi anugerah. Hari ini, piawai kesihatan dan keselamatan bertaraf dunia juga merupakan sebahagian penting dalam janji jenama kami sedang kami secara beransur-ansur membina semula rangkaian kami dan mengalu-alukan pelanggan kembali dalam penerbangan kami. "

CEO Scoot, Encik Campbell Wilson pula berkata: “Selain nilai, keselesaan, kemudahan, dan keselamatan, para pelanggan juga semakin inginkan jaminan mengenai langkah-langkah kebersihan daripada syarikat penerbangan. Sejak bermulanya pandemik ini, Scoot telah menjadikan kesihatan dan keselamatan sebagai keutamaan kami, mengukuhkan prosedur pembersihan dan yang lain, serta memperkenalkan pilihan layan diri tanpa sentuhan baru di semua kemudahan kami. "

Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax Edward Plaisted menambah dengan memberikan jaminan tahap tinggi seperti itu kepada pelanggan adalah "faktor terpenting" dalam mengembalikan keyakinan penumpang mengenai pengalaman perjalanan udara yang selamat.

Sumber : CNA/SS/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita