SIA, DHL sambut pesawat kargo pertama Boeing 777 di bawah perjanjian baru
Pesawat kargo baru Boeing 777 mempunyai muatan maksimum 102 tan dan akan mula melakukan perjalanan ke AS melalui Korea Selatan tiga kali seminggu bermula bulan ini.
Para wakil Singapore Airlines (SIA), DHL Express dan Boeing di Lapangan Terbang Changi pada 16 Ogos 2022. (Gambar: SIA)
Pesawat kargo baru itu menampilkan corak luaran DHL-SIA dan mempunyai muatan maksimum 102 tan. Ia akan mula melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat melalui Korea Selatan tiga kali seminggu bermula bulan ini.
Di bawah perjanjian pada bulan Mac itu, para juruterbang SIA akan menerbangkan lima pesawat ke Amerika Utara melalui Asia Utara dan Australia. Syarikat itu juga akan menyelia penyenggaraan pesawat itu.
Pesawat kedua di bawah perjanjian itu dijangka memulakan khidmat pada bulan November, manakala tiga lagi pesawat dirancang bagi tahun depan.
Naib presiden eksekutif DHL Express bagi penerbangan Robert Hyslop berkata bahawa kerjasama itu akan membantu syarikat tersebut memenuhi keperluan pelanggannya sambil membolehkannya mengurangkan jejak karbon.
"Pesawat pengangkutan baru Boeing 777 menunjukkan usaha berterusan kami untuk mengukuhkan rangkaian dan menyesuaikan laluan penerbangan, dan mengurangkan pengeluaran karbon bagi mencapai logistik lebih hijau.
"Kepakaran Singapore Airlines dalam operasi penerbangan akan membolehkan kami memenuhi keperluan pelanggan kami dengan lebih baik, sedang kami memanfaatkan lokasi strategik Hab Asia Tenggara di Singapura," kata beliau.
Naib presiden eksekutif komersil SIA Lee Lik Hsin mengalu-alukan pelanjutan kerjasama SIA-DHL.
"Kerjasama berpanjangan SIA dengan DHL mengesahkan kedudukan Singapura sebagai hab penting kargo udara dan logistik e-dagang, serta mengesahkan komitmen syarikat kami kepada perniagaan kargo kami," kata beliau.
"Selain menyokong segmen e-dagang yang pesat berkembang, operasi pesawat pengangkutan baru ini menyediakan asas bagi melanjutkan kerjasama antara SIA dengan DHL pada masa akan datang."
Menurut Boeing, pesawat-pesawat 777 miliknya boleh terbang lebih 6,000 batu nautika (11,112km) dengan 20 peratus lebih muatan berbanding pesawat kargo besar lain, seperti 747-400F syarikat itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.