Shell bakal guna feri elektrik bawa penumpang ke Pulau Bukom pada 2023
Shell Singapore akan bertukar kepada feri berkuasa elektrik sepenuhnya untuk membawa penumpang ke taman tenaga dan kimia syarikat itu di Pulau Bukom, sedang ia terus menyusun semula perniagaan utamanya ke arah masa depan rendah karbon.
SINGAPURA: Shell Singapore akan bertukar kepada feri berkuasa elektrik sepenuhnya untuk membawa penumpang ke taman tenaga dan kimia syarikat itu di Pulau Bukom, sedang ia terus menyusun semula perniagaan utamanya ke arah masa depan rendah karbon.
Kapal elektrik itu dijangka menggantikan feri berkuasa diesel yang kini digunakan pada separuh pertama 2023. Ia merupakan inisiatif "pertama diusahakan Shell di peringkat global".
Syarikat Singapura, Penguin International diberi kontrak untuk mereka, membina dan mengendalikan operasi sekurang-kurangnya tiga feri berkuasa elektrik, menurut Shell dalam satu kenyataan media pada Rabu (22 Sep).
Feri satu tingkat dengan 200 tempat duduk itu menggunakan sistem bateri litium-ion yang mempunyai kapasiti 1.2 juta jam watt. Ia boleh mencapai kelajuan melebihi 20 knot (37 km/j) "tanpa pengeluaran gas mahupun bunyi bising," menurut Shell.
Apabila diletakkan di kompleks Pulau Bukom Shell, feri itu akan dicas menggunakan gabungan pengecas pantas ketika waktu sibuk dan pengecas perlahan ketika di luar waktu sibuk dan semalaman, tambah syarikat itu.
Laluan feri sekitar 5.5 kilometer di luar Selat Singapura itu "adalah rangkaian sibuk" yang mengangkut sekitar 3,000 penumpang sehari, atau kira-kira 1.8 juta perjalanan penumpang setiap tahun, menurut Shell lagi.
"Masa depan perkapalan akan membabitkan bahagian-bahagian berbeza sektor tersebut memanfaatkan bahan bakar berbeza dan kuasa elektrik adalah huraian untuk mengurangkan pengeluaran karbon bagi pelayaran pendek, termasuk operasi di pelabuhan," jelas Encik Nick Potter, pengurus besar Shell Shipping dan Maritime, Asia Pasifik dan Timur Tengah.
"Beralih ke feri pengeluaran sifar gas, berkuasa elektrik penuh adalah sebahagian daripada matlamat Shell untuk membantu memacukan kemajuan ke arah sifar pengeluaran dalam sektor perkapalan."
Pengarah Urusan Penguin International James Tham berkata projek itu melibatkan "pelaksanaan di peringkat komersil penggunaan kuasa elektrik dalam sektor marin" dengan "huraian selamat yang memenuhi piawaian Shell".
Ketua Eksekutif Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) Quah Ley Hoon pula berkata MPA komited untuk mengurangkan jejak karbon bagi operasi kapal dan pelabuhan Singapura.
"Langkah berani diambil Shell untuk menempah feri baru berkuasa elektrik penuh akan membawa kita selangkah lebih dekat ke arah merealisasikan masa depan kurang pengeluaran karbon bagi sektor maritim," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.