SG turunkan unjuran pertumbuhan GDP 2025 kepada 0-2% dek kesan tarif Trump ke atas perdagangan global
Singapura telah menyemak semula ramalan pertumbuhan Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) bagi 2025 kepada antara 0 hingga 2 peratus, menurut Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) pada Isnin (14 Apr), berikutan kesan tarif yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke atas perdagangan global.
Pada Februari lalu, ramalan pertumbuhan GDP bagi 2025 ditetapkan antara 1 hingga 3 peratus, dengan mengambil kira jangkaan kelembapan dalam pertumbuhan keseluruhan rakan dagang utama Singapura, termasuk Amerika Syarikat dan China, tambah kementerian itu.
“Sejak itu, Amerika Syarikat telah mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua negara, serta tarif timbal balik yang lebih tinggi terhadap negara-negara yang mencatat lebihan dagangan besar dengan Amerika Syarikat,” kata MTI.
Kementerian itu menyatakan bahawa tarif yang dikenakan Encik Trump dan perang perdagangan yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat dan China dijangka “memberi tekanan besar ke atas perdagangan global dan pertumbuhan ekonomi global”.
Ia turut menambah bahawa di peringkat serantau, prospek pertumbuhan ekonomi akan “terjejas secara negatif” akibat kemerosotan dalam permintaan luar, sebahagiannya berpunca daripada kesan lebih meluas tarif tersebut terhadap perdagangan dan pertumbuhan global.
“Sentimen perniagaan dan pengguna juga akan terjejas, sekali gus menyekat penggunaan domestik dan pelaburan bagi pelbagai ekonomi,” kata MTI.
Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 3.8 peratus pada suku pertama 2025 berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut anggaran awal kementerian itu.
Tarif yang diumumkan Encik Trump pada 2 April, yang mengenakan kadar tarif menyeluruh sebanyak 10 peratus ke atas semua import ke Amerika Syarikat, dengan kadar yang lebih tinggi bagi negara-negara yang dianggap telah memperlakukan negara itu secara “tidak adil”.
Presiden Trump pada 9 April menggantung sementara tarif lebih tinggi ke atas rakan dagang – kecuali China – selama 90 hari, tetapi Singapura, yang kini tidak mengenakan sebarang tarif ke atas import dari Amerika, tetap tertakluk kepada kadar asas 10 peratus itu.
Walaupun Singapura “mungkin atau mungkin tidak” mengalami kemelesetan tahun ini, ekonominya pasti akan terkesan dengan ketara, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
“Pertumbuhan yang lebih perlahan bermakna peluang pekerjaan yang lebih sedikit dan kenaikan gaji yang lebih kecil bagi para pekerja. Dan jika lebih banyak syarikat menghadapi kesukaran atau memindahkan operasi mereka kembali ke Amerika Syarikat, kadar pemberhentian kerja dan kehilangan pekerjaan akan meningkat,” katanya pada 8 April.
Di samping mengulas kebimbangan segera yang dihadapi, Encik Wong menambah bahawa tarif tersebut mengesahkan hakikat bahawa “era globalisasi berasaskan peraturan dan perdagangan bebas sudah berakhir”.
Singapura akan menubuhkan satu pasukan petugas nasional bagi menyokong perniagaan dan pekerja dalam menghadapi tarif tersebut yang boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi serta menjejaskan pekerjaan dan gaji, kata beliau.
Pasukan petugas tersebut, yang dipengerusikan oleh Encik Gan, akan merangkumi wakil-wakil dari agensi ekonomi Singapura, Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.