Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

SG teroka guna AI banteras pengubahan wang haram, kata Ketua MAS

Anggaran Waktu Membaca:
SG teroka guna AI banteras pengubahan wang haram, kata Ketua MAS

Ketua MAS Ravi Menon. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) "sangat berminat" untuk meneroka bagaimana Kecerdasan Buatan (AI) boleh digunakan untuk membanteras pengubahan wang haram.

Pengarah Urusan MAS, Ravi Menon, berkata demikian kepada Mediacorp dalam satu wawancara menjelang Pesta FinTech Singapura.

Acara tahunan tersebut akan berlangsung dari 15 hingga 17 Nov di Singapore Expo.

Sedang AI menghubungkan set-set data raya yang "menjangkaui keupayaan otak manusia", MAS sudahpun menggunakan pembelajaran mesin dan analisis data lanjutan untuk mengesan penipuan dan aktiviti-aktiviti mencurigakan yang lain.

AI juga digunakan dalam pemprosesan data dan maklumat yang banyak, seperti laporan yang diserahkan oleh institusi kewangan dan liputan berita untuk mengambil kira perkembangan yang memerlukan perhatian penyeliaan.

Tindakan tegas terhadap pengubahan wang haram berbilion dolar baru-baru ini di Singapura menekankan betapa pentingnya untuk lebih banyak usaha dilakukan untuk mengukuhkan "pemantauan menyeluruh", tegas Encik Menon yang akan bersara pada Januari.

"Pengubah wang haram beroperasi di institusi kewangan yang berbeza, dan anda mesti mengesan mereka."

Encik Menon sedia maklum bahawa AI boleh, misalnya, diguna pakai bagi COSMIC - sebuah platform digital yang akan dilancarkan tidak lama lagi untuk institusi kewangan berkongsi maklumat berhubung pelanggan atau urus niaga yang mencurigakan.

Buat masa ini, institusi-institusi kewangan tidak dapat memberi amaran antara satu sama lain tentang aktiviti luar biasa yang melibatkan pelanggan yang diberi kewajipan kerahsiaan.

COSMIC - atau Perkongsian Maklumat dan Kes Pembiayaan Pengubahan Wang Haram/Pembiayaan Pengganasan – bermatlamat untuk menghapuskan kelemahan-kelemahan ini apabila ia dilancarkan pada separuh kedua 2024.

AI PERLU "PENDEKATAN SEIMBANG"

Pesta FinTech tahun ini akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan penggunaan AI dalam khidmat kewangan. Ia, sebagai contoh, akan mengkaji bagaimana AI boleh membantu membayangkan semula seni bina sistem kewangan untuk golongan yang kurang diberi perhatian, dedah MAS dalam kenyataan medianya sebelum ini.

Pemilihan AI sebagai tema pesta tahun ini adalah sesuatu yang disengajakan, memandangkan bagaimana teknologi itu berada pada “detik yang sangat penting” di tengah-tengah pelaburan yang semakin meningkat, kemajuan dalam kuasa pemprosesan dan pengagregatan set data raya, serta peningkatan pada aplikasi dan penggunaannya, kata Encik Menon.

Sungguhpun demikian, MAS perlu mengambil "pendekatan yang seimbang" dalam menangani kedua-dua manfaat dan risiko AI, menurut Encik Menon.

“Seperti semua teknologi, AI membawa potensi dan juga bahaya yang besar. Kita perlu bersikap realistik dalam menghargai kedua-dua pihak. Bagaimanakah kita boleh memanfaatkan faedah, dan tidak terlalu gentar terhadap risikonya? Pada masa yang sama, kita tidak boleh mengabaikan beberapa risiko."

RANGSANGAN FINTECH KEPADA PEMBAYARAN, KEMAMPANAN DATA

Beberapa kemas kini dan pengumuman dijangkaakan sempena Pesta FinTech yang akan datang, seperti dalam bidang pembayaran rentas sempadan.

Pertama, MAS akan melancarkan kerjasama antara sistem PayNow di Singapura dan DuitNow dari Malaysia. Ini menyusuli kerjasama PayNow dengan PromptPay di Thailand pada 2021 dan Unified Payments dari India pada awal tahun ini.


TOLAK KEMUNGKINAN SERTAI ARENA POLITIK

Encik Menon, 59 tahun, adalah pengarah urusan MAS yang paling lama berkhidmat. Beliau memulakan kerjayanya di MAS pada 1987, mengambil peranan dalam dasar kewangan, ramalan ekonometrik, peraturan perbankan dan lain-lain sebelum dilantik sebagai pengarah urusannya pada 2011.


Sebelum MAS, beliau menyandang jawatan Setiausaha Tetap di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Timbalan Setiausaha di Kementerian Kewangan (MOF).

Encik Menon menyifatkan kerjayanya di MAS sebagai "perjalanan yang menggembirakan" dengan tiada detik yang membosankan. Kerja untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja sektor kewangan tempatan, memang "sangat memuaskan".

Tugas Encik Menon akan diambil alih oleh Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Manusia Encik Chia Der Jiun, 52 tahun. Beliau bakal dilantik sebagai Pengarah Urusan MAS pada 1 November tahun ini dan menggalas tugas tersebut berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Meskipun beliau "tidak (mempunyai apa-apa rancangan tertentu", beliau berhasrat untuk menyumbang kepada tiga bidang yang sangat diminatinya - iaitu teknologi dan inovasi, keterangkuman sosial dan perpaduan, serta perubahan iklim dan kemampanan.

Apabila ditanya sama ada penyertaan dalam arena politik dapat membantunya mencapai matlamat tersebut dengan lebih berkesan, Encik Menon berkata bahawa beliau tidak fikir dapat menyumbang ke arah bidang politik.

"Terdapat banyak cara anda boleh menyumbang kepada kebajikan manusia selain bidang politik," kata Encik Menon.
 

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan