SG sekat akses platform dagang tanpa lesen Octa dan XM
Dua platform perdagangan online dari luar negara akan disekat di Singapura selepas ia didapati melanggar peraturan kewangan, menurut kenyataan media bersama oleh polis dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Jumaat (6 Jun).
Tangkapan skrin platform dagang Octa (kiri) dan XM, yang akan disekat di Singapura mulai 20 Jun 2025.
Laman web platform, Octa dan XM, tidak boleh diakses pengguna di Singapura bermula 20 Jun.
Khidmat-khidmat yang ditawarkan - termasuk pinjaman pertukaran asing, komoditi, indeks dan perdagangan ekuiti - ditawarkan kepada para pelanggan Singapura tanpa lesen di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFA).
Ini melanggar Akta tersebut, menurut polis dan MAS.
Lesen khidmat pasaran modal diperlukan bagi sesebuah entiti untuk menjalankan urusan perniagaan dalam produk pasaran model, termasuk sekuriti dan perdagangan pertukaran mata wang asing, menurut pihak berkuasa.
Siasatan mendedahkan bahawa Octa dan XM juga secara aktif menawarkan dan memasarkan khidmat mereka kepada para pelanggan di Singapura.
Platform-platform itu dikendalikan oleh entiti yang ditubuhkan di luar negara - Octa oleh Octa Markets dan Uni Fin Invest, yang kononnya berpangkalan di Kesatuan Comoros dan Mauritius; dan XM oleh XM Global, dipercayai ditubuhkan di Belize.
Pihak berkuasa menyatakan kesemua entiti itu tidak memiliki lesen untuk berurusan dalam produk pasaran modal dan justeru dilarang daripada menawarkan khidmat sedemikian.
Maklumat pada laman web mereka mengandungi kandungan yang dilarang di bawah Kod Amalan Internet, menurut pihak berkuasa.
Polis dan MAS menasihati orang ramai supaya hanya berurusan dengan platform berlesen yang tersenarai dalam Senarai Institusi Kewangan MAS.
Ia menambah bahawa platform perdagangan online yang tidak dikawal selia, terutamanya yang berpangkalan di luar Singapura, menimbulkan risiko penipuan lebih tinggi memandangkan kewibawaan operasi itu tidak mudah disahkan.
Platform sedemikian juga menawarkan pampasan yang terhad kepada pengguna sekiranya berlaku pertikaian. Ia juga mungkin memerlukan bayaran bagi urus niaga perdagangan yang dibuat menggunakan kad kredit atau debit, yang menambah risiko berlaku urus niaga kad yang tidak dibenarkan, kata pihak berkuasa.
MAS menambah pihaknya akan terus bekerjasama untuk menyekat akses kepada khidmat perdagangan luar negara tidak berlesen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.