Skip to main content

Kewangan

SG naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2024 kepada sekitar 3.5%

Singapura pada Jumaat (22 Nov) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2024 kepada sekitar 3.5 peratus, melepasi julat ramalannya sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
SG naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2024 kepada sekitar 3.5%

(Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 22 Nov 2024 11:32AM Dikemas Kini : 22 Nov 2024 11:36AM
SINGAPURA: Singapura pada Jumaat (22 Nov) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2024 kepada sekitar 3.5 peratus, melepasi julat ramalannya sebelum ini.

Pada Ogos, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menurunkan unjuran pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) kepada antara 2 peratus hingga 3 peratus. berbanding 1 hingga 3 peratus sebelum ini.

MTI menaikkan ramalan 2024 selepas mengambil kira "prestasi ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan" bagi tiga suku pertama tahun ini, serta situasi global dan domestik terkini.

Bagi tiga suku pertama tahun ini, pertumbuhan purata GDP adalah 3.8 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

MTI menjangkakan pertumbuhan GDP Singapura bagi 2025 akan mencapai antara 1 peratus dan 3 peratus.

Ekonomi Singapura berkembang 5.4 peratus pada suku ketiga tahun ini, meningkat daripada 4.1 peratus yang dianggarkan.

RAMALAN EKONOMI BAGI 2024

Secara keseluruhannya, ramalan bagi permintaan luaran Singapura dijangka kekal berdaya tahan untuk baki 2024, menurut MTI.

Ditambah dengan pemulihan yang berterusan bagi permintaan elektronik global, ia sepatutnya menyokong pertumbuhan sektor pengilangan Singapura serta sektor perkhidmatan seperti sektor perdagangan borong, tambah MTI.

Sungguhpun demikian, prospek bagi sektor-sektor berkaitan pelancongan dan pengguna seperti penginapan, perdagangan runcit dan khidmat makanan dan minuman (F&B) melemah berikutan pemulihan yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan bagi ketibaan pelawat antarabangsa dan perbelanjaan pelancong yang lembap.

Ekonomi-ekonomi utama seperti Amerika Syarikat dan Zon Euro, serta beberapa ekonomi serantau, termasuk Malaysia, menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada unjuran suku ketiga.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pertumbuhan penggunaan yang lebih kukuh bagi ekonomi-ekonomi tersebut.

Bagaimanapun, pertumbuhan GDP China terus perlahan, sejajar dengan jangkaan sepanjang tempoh yang sama.

Bagi baki tahun ini, pertumbuhan GDP Amerika dijangka menjadi lebih sederhana sedang pertumbuhan penggunaan semakin melemah dengan keadaan pasaran buruh yang semakin mereda.

Pertumbuhan GDP Zon Euro juga diunjurkan sederhana, dibebani oleh aktiviti perindustrian dan pelaburan yang lemah.

Ekonomi China dijangka meningkat sedikit menyusuli sokongan pemerintah negara itu yang diumumkan baru-baru ini.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita