SG mesti cari 'pendekatan wajar' tentukan siapa bertanggungjawab atas kerugian penipuan perisian hasad: Ketua MAS

Encik Ravi Menon, pengarah pengurusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), dalam satu wawancara dengan Mediacorp. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
SINGAPURA: Pihak berkuasa perlu mencari "pendekatan wajar" sebelum kes penipuan perisian hasad boleh disertakan dalam satu rangka kerja yang diusulkan bagi menentukan siapa yang bertanggungjawab atas kerugian kes penipuan.
Ketua bank Ravi Menon berkata demikian dalam satu wawancara dengan Mediacorp.
Akur bahawa pengecualian kes penipuan perisian hasad mungkin mengecewakan sesetengah pihak, beliau menekankan bahawa MAS "sangat bimbang" mengenai kes penipuan tersebut dan perbincangan mengenai kawal selianya masih sedang dijalankan.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 25 Okt lalu membentangkan satu kertas rundingan, yang mengusulkan institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi yang bersikap cuai dipertanggungjawabkan bagi kerugian kes penipuan, berbanding para mangsa.
Sebagai permulaan, rangka kerja tersebut memberi tumpuan kepada kes penipuan pancingan data yang berlaku secara online. Ini bermakna, kes penipuan yang lain, seperti kes penipuan pelaburan dan cinta, di mana mangsa mengesahkan pembayaran kepada penipu, dan kes penipuan perisian hasad dikecualikan.
Kes penipuan perisian hasad - di mana mangsa diperdaya untuk memuat turun dan menyertakan aplikasi berniat jahat yang membenarkan penipu untuk mengawal peranti mereka - adalah "sangat membimbangkan", ujar Encik Menon dalam wawancara dengan Mediacorp, menjelang Pesta FinTech Singapura tahunan yang akan berlangsung dari 15 hingga 17 Nov.
Statistik polis menunjukkan bahawa lebih 1,400 mangsa rugi sekurang-kurangnya S$20.6 juta angkara kes penipuan perisian hasad antara Januari dan Ogos. Hampir separuh daripada kes penipuan itu berlaku pada dua bulan terakhir tempoh tersebut.
"Bilangan kes penipuan perisian hasad lebih rendah berbanding kes penipuan yang lain, tetapi jumlahnya kian meningkat, dan kami sangat bimbang mengenainya. Kami sudah berunding dengan bank-bank tersebut tentang kawal selia dan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan terhadap kes penipuan perisian hasad," jelasnya.
"Kes penipuan perisian hasad bukan sebahagian daripada rangka kerja tanggungjawab bersama ini. Saya tahu ramai akan kecewa dengan ini tetapi ... kami perlu melaksanakan pendekatan yang wajar ke arah kes penipuan sedemikian sebelum kami menyertakan dalam rangka kerja itu."
Buat masa ini, beberapa langkah kawal selia telah dilaksanakan. Sekurang-kurangnya empat bank utama telah memperkenalkan langkah kawalan anti perisian hasad, yang menyekat akses pelanggan terhadap aplikasi mereka sekiranya aplikasi berisiko dimuat turun daripada portal tidak rasmi, dikesan dalam telefon bimbit pelanggan mereka.
"SAYA TAHU ADA KEBIMBANGAN"
Pembangunan rangka kerja tanggungjawab bersama itu pertama kali diperkenalkan pada Februari 2022 selepas hampir 800 pelanggan OCBC kerugian S$13.7 juta secara keseluruhannya kepada penipu dalam kes penipuan pancingan data yang dikendalikan melalui SMS.
MAS kemudian menyatakan bahawa ia akan menerbitkan draf rangka kerja bagi mempertimbangkan bagaimana liabiliti untuk kerugian penipuan boleh dikongsi antara institusi kewangan dan mangsa dalam tempoh tiga bulan. Namun ia akan mengambil "masa yang lebih lama daripada yang dijangkakan" disebabkan kerumitan isu terbabit, nyatanya dalam satu jawapan parlimen.
Penyertaan syarikat telekomunikasi dan penyedia khidmat infrastruktur di bawah rangka kerja yang diusulkan sekali gus menjadikan Singapura yang pertama untuk melakukan demikian, menurut pihak berkuasa dalam kertas rundingan itu.
Ditanya bila syarikat telekomunikasi itu disertakan dalam perbincangan tersebut dan jika ia adalah sebab mengapa draf rangka kerja mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan, Encik Menon berkata: "Sebenarnya, seawal pertengahan tahun lalu, sebahagian besar daripada apa yang didedahkan telah pun diselesaikan.
"Namun kami menyedari ... bahawa anda perlu satu ekosistem pertahanan terhadap kes penipuan. Jadi, ia bukan hanya sekadar pelanggan dan bank, tetapi (melibatkan) pelbagai peranan dalam sistem itu."
Syarikat telekomunikasi memainkan peranan yang penting, memandangkan ia merupakan saluran di mana kiriman SMS dihantar. Dengan SMS kekal sebagai "peralatan penting" yang masih digunakan, terdapat keperluan untuk menangani jurang yang wujud dalam ruang tersebut, tambahnya.
Pihak berkuasa juga sedang dalam "perbincangan yang mendalam" dengan platform media sosial dan yang lain dalam ekosistem itu untuk meneroka bagaimana syarikat-syarikat itu boleh "menjalankan tanggungjawab yang lebih besar" ke atas cara platform masing-masing digunakan.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.