Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

SG luluskan import lebih banyak bekalan elektrik rendah karbon dari Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
SG luluskan import lebih banyak bekalan elektrik rendah karbon dari Indonesia

(Gambar fail: Jeremy Long/CNA)

SINGAPURA: Singapura memberikan kelulusan bersyarat kepada dua lagi syarikat pada Khamis (5 Sep) untuk mengimport bekalan elektrik rendah karbon dari Indonesia, sedang negara meningkatkan sasaran importnya.

Dua syarikat berkenaan - Singa Renewables dan Shell Eastern Trading - diberikan kelulusan bersyarat untuk mengimport 1.4 gigawatt elektrik secara keseluruhannya, menurut Penguasa Pasaran Daya Tenaga (EMA) pada Khamis (5 Sep).

"EMA telahpun menilai (terlebih dahulu) bahawa projek-projek ini berdaya maju secara teknikal dan komersil," menurutnya dalam satu kenyataan media.

Singapura menyasarkan untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

EMA menyatakan ia akan terus bekerjasama dengan syarikat dengan "saranan yang boleh dipercayai dan berdaya maju secara komersil" bagi menyumbang kepada sasaran 2050 tersebut.

LESEN BERSYARAT PERTAMA

Kedua-dua syarikat itu bukan yang pertama diberikan kelulusan bersyarat untuk mengimport bekalan elektrik rendah karbon daripada Indonesia.

Pada September 2023, lima syarikat diberikan kelulusan bersyarat untuk mengimport bekalan elektrik sebanyak 2 gigawatt secara keseluruhan dari Indonesia.

Pada Khamis, EMA mengumumkan bahawa kelima-lima syarikat ini telahpun mengambil langkah seterusnya dalam proses tersebut.

Ini berikutan "kemajuan ketara" disaksikan dalam kelima-lima projek yang berpangkalan di Indonesia, menurut EMA.

Lima syarikat itu adalah:

- Pacific Medco Solar Energy, oleh PacificLight Renewables, Medco Power Global and Gallant Venture

- Adaro Solar International, oleh PT Adaro Clean Energy Indonesia

- EDP Renewables APAC

- Vanda RE, oleh Gurin Energy and Gentari International Renewables

- Keppel Energy

Pacific Medco Solar Energy akan mengimport 0.6 gigawatt bekalan elektrik, sementara Adaro Solar International dan EDP Renewables APAC akan mengimport 0.4 gigawatt setiap satu.

Vanda RE dan Keppel Energy pula akan mengimport 0.3 gigawatt setiap satu.

Ini telahpun dimulakan oleh kelima-lima syarikat, yang kini berada di pelbagai tahap menyelesaikan tinjauan marin dan kajian kebolehlaksanaan.

Mereka juga "menunjukkan kebolehan untuk menepati keperluan kedua-dua Indonesia dan Singapura", menurut EMA.

Lesen bersyarat boleh diberikan kepada projek mengimport bekalan elektrik yang telahpun dinilai berdaya maju secara teknikal dan komersil, dan berada dalam peringkat pembangunan tinggi.

"Apabila kewajipan pada lesen-lesen bersyarat ini dipenuhi, EMA boleh kemudian memberikan syarikat lesen mengimport bekalan elektrik untuk memulakan operasi pembinaan atau komersil," menurut EMA.

Lesen bersyarat dan kelulusan bersyarat diberikan di Forum Kemampanan Antarabangsa Indonesia di Jakarta pada Khamis.

Kemajuan tujuh projek ini dibina menerusi beberapa memorandum persefahaman (MOU) antara Indonesia dengan Singapura mengenai kerjasama bekalan tenaga, menurut EMA.

MOU ini dimeterai pada Januari 2022, serta Mac dan September tahun lalu.

"MOU ini mengesahkan komitmen kedua-dua negara untuk memudahkan projek perdagangan rentas sempadan dan perhubungan antara Indonesia dengan Singapura, dan pelaburan dalam pembangunan industri penghasilan tenaga yang boleh diperbaharui, seperti fotovoltaik suria dan sistem penyimpanan tenaga bateri di Indonesia," menurut EMA.

SASARAN IMPORT DITINGKATKAN

Pada 2021, Singapura menetapkan sasaran untuk mengimport 4 gigawatt bekalan elektrik rendah karbon menjelang 2035.

Sejak itu, ia menerima lebih 20 saranan daripada pelbagai negara, menunjukkan daya maju import bekalan elektrik rendah karbon sebagai laluan untuk menyahkarbonkan dalam sektor tenaga, menurut EMA.

Sektor tenaga sekatat ini menyumbang kepada sekitar 40 peratus daripada pelepasan karbon di Singapura.

Pada keseluruhannya, EMA mengeluarkan kelulusan bersyarat kepada sembilan projek setakat ini, termasuk lima yang telahpun diberikan lesen bersyarat.

Projek-projek ini termasuk saranan Keppel Energy untuk mengimport 1 gigawatt bekalan elektrik rendah karbon daripada Cambodia dan Sembcorp Utilities untuk mengimport 1.2 gigawatt daripada Vietnam.

"Memandangkan kemajuan projek mengimport bekalan elektrik yang mendorong dan bagi memastikan bekalan yang mencukupi untuk menepati keperluan bekalan tenaga elektrik masa hadapan berdasarkan permintaan yang semakin meningkat, Singapura akan meningkatkan cita-citanya dan berusaha untuk mengimport 6GW menjelang 2035," menurut EMA.

Ia menambah bahawa ia akan terus mengkaji kesemua laluan menyahkarbon bagi sektor daya tenaga.

Ini termasuk hidrogen, tenaga suria, tenaga geoterma dalam, tenaga nuklear, serta teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon.

"Sedang Singapura menyahkarbon, EMA juga akan berusaha untuk mencapai keseimbangan optimum antara keselamatan tenaga, kemampanan dan daya saing kos," menurut pihak berkuasa itu.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan