Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

SG lepasi rekod 3 bilion tan kasar dalam ketibaan kapal

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Dec 2023 06:33PM Dikemas Kini : 26 Dec 2023 10:02PM
SINGAPURA: Pelabuhan Singapura pada Isnin (25 Dis) mencatat pencapaian penting dari segi ketibaan kapal.

Ia mencatatkan rekod baharu bagi jumlah kapal di terminalnya pada 2023.

Demikian diumumkan oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada Selasa.

Tan ketibaan kapal tahunan - ukuran bagi trafik kapal - di Pelabuhan Singapura bagi 2023 mencecah lebih 3 bilion GT (tan kasar) pada 2023 pada Isnin, naik daripada 2.83 bilion GT pada 2022.

Tan kasar adalah cara mengukur saiz kapal dan ukuran bagi ruang tertutup sebuah kapal, termasuk bilik enjin dan ruang bukan kargo.

Manakala, tan ketibaan kapal tahunan merujuk kepada gabungan jumlah dalaman semua kapal yang tiba di pelabuhan dalam setahun.

Pelabuhan Singapura mencecah 1 bilion GT pada 2004 dan 2 bilion GT pada 2022.

Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat menganggap bahawa pencapaian penting itu adalah disebabkan kerjasama kukuh Singapura antara pihak kesatuan, industri dan pemerintah.

"Orang lain mungkin cuba meniru perkakasan dan infrastruktur kami, mereka bahkan mungkin cuba mengikuti teknologi dan sistem operasi kami ... Tetapi ramai yang merasakan ia sukar untuk meniru ekosistem tiga pihak yang dipercayai di Singapura," katanya.

"Ini lantas merupakan salah satu elemen penting yang memberikan kami kelebihan untuk terus mendahului dalam persaingan itu, dan membawa Maritim Singapura ke tahap lebih tinggi."

Encik Chee berucap di sebuah majlis pada Selasa, di mana beliau juga menyampaikan penghargaan kepada syarikat perkapalan Jepun Ocean Network Express (ONE). Ketibaan kapal kontena berbendera Singapura dengan 98,799 GT, ONE OLYMPUS, di Terminal Pasir Panjang pada Isnin membolehkan Singapura melepasi 3 bilion GT.

"Hubungan berkekalan ONE dengan Singapura akan terus berkembang apabila kami mengiktiraf mutu utamanya sebagai pusat maritim global, hab logistik strategik dan pusat kepada ibu pejabat korporat global kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif ONE Jeremy Nixon.

KESUKARAN YANG PERLU DIHARUNGI KELAK?

Encik Chee, yang juga merupakan Menteri Kanan Negara Kewangan, mengatakan bahawa kejayaan untuk melepasi 3 bilion GT itu amat penting, memandangkan terdapat kemerosotan dalam industri maritim pada 2016 dan gangguan rantaian bekalan akibat pandemik COVID-19.

Bahkan sedang dunia pulih daripada pandemik, ia kini menghadapi kelembapan dalam pengeluaran dan penggunaan di tengah-tengah inflasi yang tinggi.

Bahkan baru-baru ini, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing di merata dunia dan konflik ketenteraan antara Rusia dengan Ukraine serta antara Israel dengan Hamas menyumbang kepada ketidaktentuan dan ketidakstabilan ekonomi.

Konflik Israel-Hamas, khususnya, ada tempiasnya di Laut Merah, selepas kumpulan pemberontak Houthi di Yaman, yang disokong Iran, mula menyasarkan kapal-kapal yang belayar melalui Terusan Suez, di samping dron dan peluru berpandu yang dilancarkan dalam apa yang disifatkan mereka sebagai tindak balas terhadap perang Israel di Gaza.

Ini mendorong syarikat-syarikat gergasi perkapalan seperti Maersk untuk melencongkan kapal-kapal di sekitar Afrika menerusi Cape of Good Hope, sekali gus menyebabkan waktu pelayaran yang lebih lama dan kos yang tinggi.

"Kementerian Pengangkutan) dan MPA sedang memantau dengan teliti perkembangan ini dan berhubung rapat dengan rakan kongsi dan pihak berkepentingan, untuk meninjau bagaimana mereka boleh bekerjasama untuk membendung sebarang gangguan yang mungkin berlaku," jelas Encik Chee.

Sekalipun demikian, Singapura sedang terus merancakkan pembangunan kontena generasi seterusnya di Tuas, di samping mempertingkatkan keberkesanan pelabuhan di pelabuhan-pelabuhan yang sedia ada, kata Encik Chee.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan