Skip to main content

Kewangan

SG kekalkan unjuran pertumbuhan 2025 pada 0-2%; ekonomi berkembang 3.9% pada Q1

Singapura mengekalkan unjuran pertumbuhannya untuk tahun ini pada julat 0 hingga 2 peratus, walaupun data pada Khamis (22 Mei) menunjukkan ekonomi berkembang lebih pantas daripada yang diramalkan bagi suku pertama 2025.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 May 2025 08:31AM Dikemas Kini : 22 May 2025 11:23PM
SINGAPURA: Singapura mengekalkan unjuran pertumbuhannya untuk tahun ini pada julat 0 hingga 2 peratus, walaupun data pada Khamis (22 Mei) menunjukkan ekonomi berkembang lebih pantas daripada yang diramalkan bagi suku pertama 2025.

Ekonomi berkembang 3.9 peratus pada suku pertama berbanding setahun lalu, tinggi sedikit berbanding 3.8 peratus yang diunjurkan. Namun, ia lebih rendah daripada pertumbuhan 5 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2024.

Dalam kenyataan medianya, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan bahawa pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi suku pertama sebahagian besarnya didorong oleh sektor perdagangan borong, pengilangan, serta kewangan dan insurans.

Khususnya, pertumbuhan dalam sektor pengilangan dan perdagangan borong berkemungkinan sebahagiannya disokong oleh aktiviti-aktiviti yang dilakukan menjelang kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, ekonomi Singapura menguncup sebanyak 0.6 peratus, lebih baik daripada penguncupan 0.8 peratus yang diramalkan, dan daripada pertumbuhan 0.5 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Pemerintah pada April lalu menurunkan unjuran pertumbuhan GDP Singapura menyusuli "kemerosotan yang ketara" pada prospek permintaan luar negara berikutan tarif yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump.

Sejak itu, Amerika dan beberapa ekonomi telah memulakan rundingan perdagangan. Amerika dan China telah bersetuju untuk menurunkan tarif yang dikenakan antara satu sama lain selama 90 hari semasa mereka merundingkan perjanjian perdagangan,menurut MTI.

“Dengan ekonomi-ekonomi besar mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan ketegangan perdagangan global, penilaian MTI ialah prospek permintaan luar Singapura untuk tahun ini telah meningkat sedikit berbanding April,” menurut kenyataan MTI.

Di Amerika, sebagai contoh, pertumbuhan GDP berkemungkinan meningkat sedikit daripada unjuran pada April lalu, menyusuli penggantungan selama 90 hari dalam perang dagang dengan China, walaupun pertumbuhan masih dijangka perlahan untuk baki 2025.

Sungguhpun demikian, MTI memberi amaran bahawa prospek ekonomi global "masih diselubungi ketidaktentuan yang ketara".

Ini termasuk ketidaktentuan ekonomi yang meningkat yang mungkin membawa kepada penarikan semula aktiviti ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangkakan apabila perniagaan dan isi rumah menggunakan pendekatan "tunggu dan lihat" sebelum membuat keputusan perbelanjaan.

Terdapat juga risiko berlaku peningkatan semula tarif, termasuk tarif balas, yang boleh membawa kepada perang dagang global sepenuhnya.

Berdasarkan latar belakang ini, pertumbuhan sektor-sektor di Singapura yang bergantung kepada eksport dijangka perlahan sepanjang tahun ini.

Langkah tarif Amerika berkemungkinan akan "menjejaskan" sektor pengilangan disebabkan oleh pendedahan eksportnya kepada pasaran Amerika, serta pertumbuhan perlahan dalam pasaran produk global. Sungguhpun demikian, kelompok kejuruteraan pengangkutan dalam sektor itu "kekal menjadi sinar harapan", terutamanya dengan peralihan ke arah kerja-kerja penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat.

Menurut MTI, kelembapan sektor pengilangan, diburukkan lagi dengan perdagangan global yang lebih lemah, yang seterusnya akan memberi kesan kepada sektor perkhidmatan berkaitan perdagangan.

Dalam sektor perdagangan borong, jumlah jualan dijangka lemah apabila rangsangan daripada aktiviti-aktiviti perdagangan semakin pudar dan perdagangan global semakin lemah, terutamanya pada separuh kedua 2025.

Unjuran penurunan pada perdagangan global juga akan memberi kesan negatif kepada sektor pengangkutan dan penyimpanan disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah untuk perkhidmatan perkapalan dan kargo udara.

Sementara itu, pertumbuhan dalam sektor kewangan dan insurans mungkin terjejas oleh episod aktiviti perdagangan yang lebih lemah, serta aktiviti perniagaan yang lebih hambar dan perbelanjaan pengguna yang lebih rendah.

Sektor infokom serta perkhidmatan profesional juga mungkin akan menyaksikan pertumbuhan yang lemah jika firma-firma mengurangkan perbelanjaan masing-masing, seperti bagi IT dan pemasaran.

Pertumbuhan dalam sektor-sektor pengguna, seperti perdagangan runcit dan perkhidmatan makanan dan minuman, berkemungkinan kekal hambar apabila rakyat tempatan terus berbelanja di luar negara dan jangkaan keadaan pasaran buruh domestik semakin lemah.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita