Skip to main content

Kewangan

SG & China meterai 25 perjanjian tingkatkan kerjasama dua hala

Anggaran Waktu Membaca:
SG & China meterai 25 perjanjian tingkatkan kerjasama dua hala

(Gambar: CNA/Bong Xin Ying)

Diterbitkan : 11 Nov 2024 09:13PM Dikemas Kini : 11 Nov 2024 09:32PM
SINGAPURA: Singapura dan China memeterai 25 perjanjian semasa mesyuarat tahunan peringkat tinggi, yang akan meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang seperti perdagangan, kewangan dan maritim, sedang kedua-dua negara mengukuhkan hubungan di tengah-tengah iklim geopolitik yang serba tidak menentu.

Pelbagai Memorandum Persefahaman (MOU) dan perjanjian - meningkat daripada 24 pada tahun lalu dan paling banyak sejak beberapa tahun kebelakangan ini diumumkan pada Isnin (11 Nov) semasa mesyuarat Majlis Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-20, yang diadakan di Hotel Shangri-La di Singapura.

Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang mempengerusikan bersama mesyuarat itu, yang merupakan forum tahunan peringkat tertinggi antara China dan Singapura.

Diadakan secara bergilir-gilir antara kedua-dua negara, ia menilai dan menyemak kerjasama, di samping melakar hala tuju kerjasama.

“Daripada perbincangan kami, jelas bahawa hubungan kami semakin meningkat … sekali gus memberikan agenda dua hala kami tumpuan baharu, yang lebih bercita-cita tinggi dan berpandangan jauh,” kata Encik Gan.

Singapura dan China meningkatkan hubungan dua hala tahun lalu kepada “Kerjasama Masa Hadapan Bermutu Tinggi” menyusuli pertemuan antara Perdana Menteri Singapura ketika itu Lee Hsien Loong dan Presiden China Xi Jinping di Beijing.

Encik Ding juga akur terhadap kemajuan dua hala yang dicapai selama ini.

“China bersedia bekerjasama dengan Singapura untuk terus melaksanakan konsensus penting yang dicapai oleh pemimpin kita, memberikan tumpuan kepada kerjasama komprehensif, berkualiti tinggi dan berpandangan jauh,” katanya.

"Kami akan terus meneroka bidang-bidang pertumbuhan baharu yang akan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara."

Ini adalah kali pertama Encik Gan - yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan - mempengerusikan bersama JCBC dan mesyuarat majlis panduan bersama berkaitan tiga projek antara pemerintah Singapura dan China.

Projek-projek itu adalah Taman Perindustrian Suzhou, Bandar Eko Tianjin dan Inisiatif Ketersambungan Chongqing.

Kerjasama kewangan dua hala akan mendapat rangsangan dengan beberapa inisiatif kewangan hijau dan pasaran modal.

Satu kerjasama antara bank pusat Singapura dan China bermatlamat untuk memangkin aliran pembiayaan hijau. Kerjasama itu, yang membandingkan kriteria hijau taksonomi Kesatuan Eropah (EU), China dan Singapura, akan disiapkan menjelang akhir tahun ini, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan media pada Isnin (11 Nov).

"Ia akan membolehkan perbandingan lebih mudah bagi taksonomi hijau Singapura dan China dan memudahkan penyediaan pinjaman hijau rentas sempadan, bon hijau dan pelaburan dana."
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita