Skip to main content

Kewangan

SEZ Johor-SG, RTS dijangka rangsang pasaran hartanah Johor

Anggaran Waktu Membaca:
SEZ Johor-SG, RTS dijangka rangsang pasaran hartanah Johor

RTS Johor Bahru-Singapura ialah khidmat ulang-alik sepanjang 4km yang akan menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Woodlands North di Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

JOHOR BAHRU: Pasaran hartanah Johor dijangka memasuki fasa pertumbuhan baharu menyusuli pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pembangunan berterusan projek RTS Johor Bahru-Singapura.

Dalam kenyataannya pada Isnin (30 Jun), syarikat perkhidmatan hartanah Nawawie Tie menjelaskan permintaan hartanah kediaman dijangka meningkat secara beransur-ansur terutama dalam pasaran sewa.

“Permintaan hartanah kediaman di Johor dipacu oleh penduduk tempatan, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, serta rakyat Singapura, dan JS-SEZ dijangka menarik minat pelabur asing dengan lebih tinggi.

“Walaupun permintaan kediaman dijangka meningkat secara progresif, pembeli rumah untuk diduduki mungkin kekal berhati-hati sehingga terdapat lebih kejelasan mengenai dasar sokongan dan pembangunan infrastruktur,” menurutnya.

Hartanah berhalaman kekal menjadi pilihan utama pembeli, merangkumi 65 peratus daripada jumlah transaksi di Johor, manakala daerah Johor Bahru menyumbang 60 peratus kepada jumlah tersebut.

Sementara itu, pasaran hartanah industri di daerah Johor Bahru diunjurkan berkembang pesat, dipacu oleh peluasan sektor pengilangan dan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI).

Johor juga muncul sebagai hab serantau utama bagi pusat data, yang seterusnya meningkatkan permintaan terhadap hartanah industri.

Pada suku pertama tahun ini, sebanyak 353 unit kediaman sudah dijual di Johor, dengan rumah teres dan berkembar menjadi jumlah yang paling tinggi.

Johor Bahru kekal sebagai lokasi pilihan pemain industri, menyumbang kira-kira 57 peratus kepada transaksi negeri.

“Aktiviti runcit di Johor, terutama di Johor Bahru, menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pengukuhan mata wang dolar Singapura.

“Faktor ini telah merangsang aktiviti beli-belah dalam kalangan pengunjung dari Singapura. Bekalan pusat beli-belah berkualiti tinggi yang terhad dijangka menyokong kadar penghunian yang lebih tinggi di pusat runcit yang sedia ada.

“Di Johor, kadar penghunian purata ialah 72.8 peratus pada suku keempat 2024 berbanding 72.9 peratus pada suku pertama 2025. Tiada pembangunan runcit baharu direkodkan dalam tempoh tersebut.

“Di daerah Johor Bahru, kadar penghunian purata kekal pada 72.4 peratus pada suku pertama 2025,” menurutnya.

RTS yang dijangka siap menjelang akhir 2026 dijangka meningkatkan hubungan rentas sempadan dan mengukuhkan lagi kedudukan Johor Bahru sebagai destinasi pejabat serantau.

“Kadar penghunian ruang pejabat di daerah Johor Bahru adalah kira-kira 57 peratus, tidak termasuk ruang pejabat milik kerajaan,” jelasnya.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita