SEZ Johor-SG pikat pelaburan RM670 juta Gold Peak Technology Group; dijangka cipta 150-180 peluang pekerjaan
Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berjaya memikat salah satu pelabur terawalnya – Gold Peak Technology Group yang tersenarai di Bursa Hong Kong.
SEZ Johor-SG menawarkan peluang strategik bagi Gold Peak untuk mengembangkan kehadirannya di Asia Tenggara. (Gambar fail: CNA/Hanidah Amin)
Gold Peak, sebuah syarikat huraian teknologi bateri dan penyimpanan tenaga, merancang untuk menebarkan sayapnya ke rantau ini dengan pelaburan dianggarkan RM670 juta yang melibatkan penubuhan kemudahan pengilangan dan penyelidikan & pengembangan (R&D).
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata pelaburan itu akan membawa keupayaan pengilangan maju, peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang mampan kepada Johor.
Semasa menghadiri acara di Iskandar Puteri, Encik Onn Hafiz turut melancarkan inisiatif Green Lane United Overseas Bank (UOB) dengan Invest Johor, yang akan mempercepatkan pelaburan ke dalam JS-SEZ.
Majlis itu juga memperkenalkan Gold Peak sebagai pelanggan pertama UOB di bawah Green Lane, di mana pengarah eksekutif dan pengarah urusan firma Hong Kong itu, Encik Michael Lam menyampaikan Surat Hasrat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor Natazha Hariss.
Encik Lam berkata JS-SEZ memberikan peluang strategik untuk Gold Peak mengembangkan sayapnya di Asia Tenggara.
“Kemudahan masa depan kami akan berfungsi sebagai hab untuk inovasi dalam teknologi bateri dan penyimpanan tenaga.
“Ia akan memberi tumpuan kepada usaha menghasilkan teknologi bateri generasi akan datang dan dijangka memainkan peranan penting dalam memajukan huraian penyimpanan tenaga mampan, terutamanya untuk pusat data di seluruh Asia Tenggara.
"Pelaburan yang dicadangkan syarikat itu dijangka mewujudkan kira-kira 150 hingga 180 peluang pekerjaan, menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi rantau ini dan memacu inovasi," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata inisiatif Green Lane adalah hasil daripada Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani dengan Invest Johor semasa persidangan ASEAN pada Ogos tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.