Skip to main content

Kewangan

Semakin banyak MNC Eropah, Asia Utara berhasrat bina pangkalan di SG

Anggaran Waktu Membaca:
 Semakin banyak MNC Eropah, Asia Utara berhasrat bina pangkalan di SG
Kemudahan pengilangan di Singapura.
Diterbitkan : 10 Feb 2026 05:20PM Dikemas Kini : 10 Feb 2026 05:22PM
SINGAPURA: Semakin banyak syarikat berbilang negara (MNC) dari Eropah dan Asia Utara berhasrat untuk membina pangkalan di Singapura, di tengah-tengah usaha untuk memperluaskan pengaruh mereka di seluruh Asia Tenggara.

Menurut Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF), kebanyakan firma itu bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan untuk menyokong pertumbuhan serantau mereka, tertarik dengan ekosistem Singapura yang kukuh serta keupayaan dalam pengilangan maju.

Sekalipun demikian, dengan isu tarif yang kekal menjadi kebimbangan utama, persatuan itu menyatakan bahawa firma-firma memerlukan sokongan yang lebih kukuh untuk menghadapi ketidaktentuan tersebut sambil kekal berdaya saing.

Ini berlaku sedang industri pengilangan menjadi pemacu utama pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura bagi tahun 2025, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Selasa (10 Feb).

Kementerian tersebut turut menarik perhatian bahawa, khususnya, kelompok elektronik dalam sektor pengilangan serta segmen jentera, peralatan, dan bekalan dalam sektor perdagangan borong berkembang pesat disebabkan permintaan tinggi bagi elektronik berkaitan kecerdasan buatan (AI).

PERMINTAAN MAKIN MENINGKAT DARI SEKTOR SEMIKONDUKTOR

Salah satu firma pengilangan Singapura yang melihat minat semakin meningkat daripada syarikat luar negara ialah ATC Globe Holdings. Ia sudah menaik taraf kemudahannya dari 2023 hingga 2025 untuk menyokong kerja jentera jitu bernilai tinggi dengan lebih baik lagi.

Pengarah Urusannya, Marcus Sia, berkata permintaan daripada sektor semikonduktor meningkat, mendorong firma tersebut untuk melabur lebih awal.

"Pelanggan utama kami bagi semikonduktor sudah memaklumkan bahawa untuk beberapa suku akan datang, (pengeluaran) akan dipertingkatkan," katanya kepada Mediacorp, sambil menambah bahawa pelanggan-pelanggannya sudah meminta syarikat itu bersiap sedia dengan membuat pelaburan modal dan rancangan pengambilan pekerja yang diperlukan.

"Malah, kami sudah melihat sedikit peningkatan pada perniagaan semikonduktor kami sekarang. Sebahagiannya juga disebabkan oleh AI, (perniagaan) berkembang sangat kukuh," tambahnya lagi.

Firma tersebut, yang menyediakan perkhidmatan penyaduran dan perapian permukaan, menjangkakan permintaan akan meningkat kira-kira 30 peratus pada tahun depan.

Baru-baru ini, ia bekerjasama dengan Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) untuk membangunkan salutan khas bagi tempat duduk kelas niaga dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA).

Encik Sia berkata syarikat itu bercadang untuk terus memperluaskan kemudahannya di Singapura, dengan beberapa syarikat dari Eropah dan Amerika Syarikat sudah mendampinginya untuk bekerjasama dalam projek-projek di rantau ini.

TERUS GUNA PAKAI TEKNOLOGI: SMF

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang bakal ditubuhkan juga terbukti menjadi daya tarikan utama, menawarkan peluang kepada firma-firma untuk mempelbagaikan keupayaan pengeluaran rentas sempadan masing-masing.

"Pada awal 2025, kami melihat pengambilan yang sihat dari segi pertanyaan... (ia datang daripada) pasaran dari Asia Utara hingga ke Eropah," kata CEO SMF, Dennis Mark.

"(Mereka) melihat ini sebagai cadangan yang sangat menarik, dan mereka juga melihat cadangan ini sebagai sesuatu yang berpandangan jauh dan dirancang untuk masa depan."

Sekalipun demikian, SMF menyatakan bahawa untuk mendapat manfaat sepenuhnya daripada ekosistem serantau yang lebih luas, pengilang tempatan - terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (SME) - mesti terus meningkatkan keupayaan mereka.

Persekutuan itu menyatakan SME kini mula menceburi bidang yang secara tradisinya dikendalikan di Amerika Syarikat dan Eropah, seperti kejuruteraan jitu, yang boleh menyediakan pilihan yang lebih hemat dan dekat bagi rakan antarabangsa yang ingin berkembang di Asia Tenggara.

"Keupayaan kita untuk menjadi tangkas dan kesediaan kita untuk menerima teknologi baharu sentiasa menjadi perbezaan utama kita," kata Encik Mark.

Beliau menambah bahawa ini membolehkan syarikat berbilang negara (MNC) memendekkan kitaran pembangunan mereka dan membawa huraian ke pasaran dengan lebih pantas.

Minat tersebut tidak terhad kepada syarikat berbilang negara (MNC) yang sudah sedia ada tetapi juga merangkumi firma-firma baharu yang ingin menggunakan Singapura sebagai batu loncatan ke rantau ini.

Untuk kekal menarik dan berdaya saing, beliau berkata pengilang tempatan mesti terus melakukan transformasi tenaga kerja mereka, termasuk melalui mereka semula pekerjaan dan inisiatif peningkatan kemahiran.

"Kami juga bekerjasama dengan agensi-agensi untuk melihat rangka kerja mereka semula pekerjaan yang dapat membantu syarikat mengangkat pekerja sedia ada dan meningkatkan kemahiran mereka untuk pekerjaan yang lebih kompleks pada masa hadapan," tambahnya.

"SME mengharapkan proses geran dipermudahkan. Jadi, terdapat seruan kuat untuk menyemak dan menyelaraskan beberapa proses geran agar ia lebih mudah dan kurang rumit, bagi memberikan impak yang lebih besar kepada SME dalam pasaran."

Di sebalik latar belakang ketidaktentuan ekonomi global dan peralihan rantaian bekalan yang berterusan, SMF menyatakan Singapura kekal di kedudukan yang baik, terutamanya jika firma-firma mengambil pendekatan proaktif dan menyerantau.

Encik Mark berkata syarikat-syarikat semakin banyak meneroka teknologi baharu, termasuk robotik canggih dan AI - namun meningkatkan skala teknologi tersebut daripada projek rintis tetap menjadi satu cabaran.

"Kami memang melihat... minat yang dipertingkatkan datang dari Eropah," tambahnya.

"Mereka boleh mengembangkan perniagaan mereka di sini sebagai pangkalan dengan mudah... dan seterusnya berkembang ke Asia Tenggara, sebagai contoh, di mana mereka berasa selamat dengan hak intelektual mereka dan juga (mempunyai) rakan niaga yang diyakini."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita