Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Sektor pelancongan Johor mungkin perlu sehingga setahun setengah untuk pulih

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Sektor pelancongan negeri Johor Bahru, Malaysia, mungkin mengambil masa setahun setengah untuk pulih ke tahap sebelum pandemik COVID-19.

Walaupun sempadan negara itu dibuka sepenuhnya, banyak aspek perhotelan dan khidmat pelancongan sudah terpukul teruk.

Antara hotel di Johor yang terasa kesan penularan COVID-19 adalah Hotel Amari.

Kini, hotel itu sibuk melakukan persediaan ketibaan para pengunjung dari Singapura sejak kerajaan Malaysia mengumumkan pembukaan semula sempadan.

MAHU PASTIKAN PENGALAMAN LANCAR & SEDIAKAN KAKITANGAN TERLATIH

Daripada menambah bekalan pembasmi kuman hinggalah kepada memastikan bekalan makanan dan minuman yang mencukupi bagi hidangan bufet Ramadan tahunan.

Pemilik hotel berkenaan, UMLand Group, menyatakan walaupun masih kurang tempahan, pihaknya akan berusaha sedaya mungkin untuk memastikan pengalaman yang lancar apabila para tetamu tiba.

"Sebagai permulaan, orang ramai mungkin berjaga-jaga jadi kami mungkin melihat peningkatan pada bulan Mei semasa cuti sekolah. Saya rasa kami juga perlu lebih berhati-hati dan melalui norma baru seperti waktu tiba dan mereka pulang dari hotel ini, kebersihan dan banyak lagi. Kami juga menyediakan semua kakitangan kami untuk menjalani ujian COVID-19 setiap hari sebelum mereka mula bekerja," kata Pengarah UMLand Group Ng Siew Koon.

Dengan Malaysia beralih ke fasa endemik, industri hospitaliti negara itu akur beberapa jaringan keselamatan perlu dilakarkan.

Millesime Hotel adalah antara sebilangan kecil hotel di Malaysia yang akan terus menerima pesakit COVID-19 yang mempunyai gejala ringan dan perlu dikuarantin.

Hotel itu terletak bersebelahan sebuah hospital dan dilengkapi dengan kakitangan yang terlatih dalam bidang perubatan.

Pengarah QMS Heathcare Dr Muhd Uwais Alqorni berkata: "Dengan pembukaan sempadan kami, kami pasti akan melihat peningkatan jumlah kes positif COVID-19 dan ini akan membuat kami lebih berwaspada serta berjaga-jaga khususnya dari segi pemeriksaan pesakit.

"Inilah sebabnya mengapa kes positif COVID-19 perlu dikuarantin kerana para pesakit ini akan menyebabkan penularan penyakit dalam negara kami jika tidak diperiksa awal."

MASIH ADA CABARAN; PERLU MASA LEBIH LAMA

Sektor pelancongan di Johor adalah antara sektor paling teruk terjejas disebabkan COVID-19.

Sebanyak 13 hotel di negeri itu terpaksa ditutup dalam tempoh dua tahun lalu.

Dalam pada itu, kekurangan pekerja dalam sektor hotel dan pelancongan mungkin menjejas taraf khidmat pelanggan sedang sempadan Malaysia dibuka sepenuhnya. 

Ramai pekerja sudah bertukar pekerjaan ataupun berniaga apabila jumlah pelancong menjunam drastik sepanjang dua tahun lalu. 

Selain itu, tidak semua bekas pekerja tersebut ghairah untuk kembali bekerja di sektor pelancongan

Para pengendali hotel berpendapat sektor pelancongan negeri berkenaan akan mengambil masa sebelum sektor tersebut boleh bangkit semula kepada paras sebelum pandemik.

"Kami meramalkan mungkin akan mengambil sekitar setahun hingga setahun setengah untuk sektor pelancongan bangkit. Kami mesti melihat peningkatan jumlah pengunjung dan pelabur perniagaan yang yakin untuk kembali ke sektor pelancongan. 

"Jadi itulah sebabnya ia memerlukan usaha masyarakat untuk memastikan makanan penjaja ada, perniagaan seperti cuci kereta ada dan yakin perniagaan mereka boleh mula semula," jelas Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (Johor) Ivan Teo.

Namun begitu, sektor berkenaan kekal optimistik dan menjangka lima juta pelancong asing tiba di Johor tahun ini sedang Johor meningkatkan kegiatan bagi para pelancong di mereta negeri.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan