Skip to main content

Kewangan

Sektor eksport Malaysia semakin tertekan jelang pelaksanaan tarif Amerika

Sektor eksport Malaysia menunjukkan tanda-tanda awal ia semakin tertekan menjelang penguatkuasaan tarif Amerika Syarikat sebanyak 25 peratus yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Ogos, sedang para pengilang melaporkan tempahan yang semakin berkurangan dan keraguan pembeli yang semakin meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Sektor eksport Malaysia semakin tertekan jelang pelaksanaan tarif Amerika

Seorang pekerja kilang perabot memeriksa stok sebelum memuatkannya ke dalam kontena untuk dihantar ke Amerika Syarikat dari sebuah kilang di pinggir bandar Muar, Johor, Malaysia, pada 11 April 2025. (Gambar: AP/Vincent Thian)

KUALA LUMPUR: Sektor eksport Malaysia menunjukkan tanda-tanda awal ia semakin tertekan menjelang penguatkuasaan tarif Amerika Syarikat sebanyak 25 peratus yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Ogos, sedang para pengilang melaporkan tempahan yang semakin berkurangan dan keraguan pembeli yang semakin meningkat.

Amerika minggu lalu menaikkan kadar tarif ke atas Malaysia sebanyak satu peratusan mata daripada 24 peratus. Walaupun peningkatan itu mungkin kelihatan kecil, para pemain industri berkata kos sebenar terletak pada ketidaktentuan yang semakin meningkat terhadap dasar perdagangan.

Para pengilang memberitahu Mediacorp bahawa tanpa hala tuju yang jelas, jumlah tempahan semakin merosot. Ada yang bimbang tempahan mungkin dialihkan kepada pesaing serantau seperti Vietnam dan Filipina.

"Adalah penting bagi pengeluar dan pengilang untuk mendapatkan kejelasan bagi membuat keputusan pelaburan kami atau malah perancangan pengeluaran kami," kata Jacob Lee, Naib Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia.

"Di sisi lain, pelanggan Amerika juga menggunakan pendekatan tunggu dan lihat. Adakah akan berlaku pusingan-u? Adakah akan ada penangguhan?" tambahnya.

"Mereka juga tidak memberi kami tempahan seperti sebelum ini. Mereka memberi kami tempahan yang lebih kecil sekadar memenuhi keperluan mendesak mereka sahaja."

PRESTASI PERDAGANGAN

Walaupun unjuran makroekonomi keseluruhan Malaysia kekal kukuh, tarif baharu Amerika boleh menjejaskan pertumbuhan dan keuntungan merentas sektor-sektor yang dipacu oleh eksport.

Semasa sidang media pada Isnin (15 Jul), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata prestasi perdagangan Malaysia bagi 2025 kekal dalam jangkaan dan menepati sasaran untuk mencapai pertumbuhan sebanyak 4 hingga 5 peratus.

Namun, beliau menambah bahawa kementeriannya menjangkakan perdagangan global akan menjadi lebih sederhana pada separuh kedua tahun ini di tengah-tengah ketidaktentuan akibat tarif Amerika.

Perangkaan terkini untuk bulan Jun akan dikeluarkan pada lewat minggu ini.

Tengku Zafrul juga memberitahu para wartawan bahawa rundingan dengan Amerika sedang dipercepatkan, dengan tarikh akhir 1 Ogos semakin hampir.

Rundingan ini diadakan menyusuli pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio di luar Forum Serantau ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) di Kuala Lumpur minggu lalu.

Walaupun Tengku Zafrul berkata beliau tetap optimis mengenai perjanjian yang saling menguntungkan, beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengalah dalam isu yang berkaitan dengan kepentingan negara.

"Terma-terma rundingan... Tiada terma baharu, tetapi sudah tentu, terdapat kebimbangan mengenai isu bukan tarif. Kami telah menangani satu daripada itu melalui Akta Perdagangan strategik, di mana kami kini telah meletakkan satu item dalam senarai," katanya.

"Tetapi mengenai isu di mana kita tidak boleh berganjak, yang merupakan garis merah - jika anda berada di negara berdaulat, dan untuk kepentingan strategik, adakah anda sanggup melakukannya? Jadi kita perlu mengkajinya dengan teliti," tambahnya.

PENDEKATAN SERAMPANG DUA MATA

Para penganalisis memberi amaran bahawa Malaysia kini mesti memikirkan dua perkara utama – mengurangkan kejutan jangka pendek dan memikirkan semula perdagangan jangka panjangnya.

"Di sinilah anda perlu menggandakan usaha, bukan sahaja dari sisi perdagangan dan kewangan dan ekonomi, tetapi juga lunas diplomatik," kata Amir Fareed Rahim, pengarah strategi hal ehwal awam dan perundingan risiko politik KRA Group.

"Apa yang penting, dalam jangka pendek, adalah bantuan yang boleh diberikan oleh kerajaan kepada pengeksport yang menguruskan tarif eksport 25 peratus secara mendadak ini, jadi akan ada tekanan margin ke atas perniagaan ini," katanya.

Para pakar juga menekankan keperluan untuk mempelbagaikan perdagangan, baik sektor-sektor terbabit mahupun pasaran eksport, sebagai sebahagian daripada strategi daya tahan ekonomi jangka panjang Malaysia.

Dengan perdagangan berbilion dolar menjadi pertaruhan, Malaysia menghadapi ujian kritikal – cuba melindungi ekonominya dalam dunia yang semakin mengamalkan fahaman perlindungan sambil berdiri teguh demi kepentingan negara.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita