Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

'Sangat lega': Niaga mula pulih bagi kedai barangan wisata susuli pengumuman VTL

Perniagaan yang terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 kini mula pulih bagi kedai-kedai yang menjual keperluan wisata seperti bagasi dan pakaian musim sejuk, sekaligus memberikan sedikit kelegaan kepada para peruncit menyusuli jualan suram selama setahun setengah.

Anggaran Waktu Membaca:
'Sangat lega': Niaga mula pulih bagi kedai barangan wisata susuli pengumuman VTL

(Gambar: The Planet Traveller)

Diterbitkan : 25 Oct 2021 10:29AM Dikemas Kini : 25 Oct 2021 10:35AM

SINGAPURA: Perniagaan yang terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 kini mula pulih bagi kedai-kedai yang menjual keperluan wisata seperti bagasi dan pakaian musim sejuk, sekaligus memberikan sedikit kelegaan kepada para peruncit menyusuli jualan suram selama setahun setengah.

Kebanyakan peniaga yang dihubungi Mediacorp berkata penjualan tumbuh antara 10 dengan 15 peratus, ekoran pengumuman baru-baru ini mengenai perjalanan bebas kuarantin di bawah skim laluan perjalanan bagi pengunjung divaksin (VTL).

"Ia adalah berita terbaik yang kami terima sejak 2020," kata Joyce Lim, pengarah pemborong dan peruncit The Travel Store, yang menyaksikan penjualan di beberapa cawangannya meningkat 15 peratus.

Beberapa gedung serbaneka sudah menghubungi syarikat tersebut dengan harapan untuk mengadakan pameran pelancongan pada pertengahan November, katanya.

Di kedai runcit gaya hidup pengembaraan The Planet Traveller, di mana jualan meningkat sekitar 10 peratus, pelanggan kebanyakannya membeli bagasi dalam saiz yang lebih besar dan aksesori, kata Cik Aw Yang Chen Lin, seorang eksekutif pemasaran di ibu syarikat Seager.

Bagasi juga merupakan barangan paling laris di Winter Time, diikuti oleh jaket untuk cuaca sejuk, pengurus pemasarannya Rebecca Poon memberitahu Mediacorp. Jualan di sana turut bertambah 10 hingga 15 peratus.

Pengurup wang seperti Encik Mohamed Rafeeq, yang memiliki Clifford Gems & Money Exchange di Raffles City, juga menyaksikan peningkatan dalam perniagaan mereka.

“Sebelum pengumuman (VTL), dalam satu hari kami akan mempunyai tiga hingga lima pelanggan, atau kadang-kadang tiada langsung.

"Minggu lalu, saya melihat mungkin 10 hingga 13 pelanggan sehari. Dari sifar hingga 13, ada sesuatu yang lebih baik,” katanya, sambil menambah bahawa pelanggan kebanyakannya membeli mata wang won Korea dan euro.

"(Saya) sangat lega ... saya sangat gembira," kata Encik Rafeeq.

TERJEJAS TERUK AKIBAT COVID-19

Bibit-bibit pemulihan itu mula muncul setelah para peniaga berbulan-bulan mengikat perut. Ini meskipun terdapat beberapa pusingan subsidi gaji dan rebat sewa yang diberikan kepada industri itu.

Jualan di Travel Store menjunam 95 peratus, menyebabkan jenama itu menutup dua daripada lima kedainya di Singapura.

Winter Time kini mempunyai tiga kedai, turun daripada 10 yang dimilikinya pada 2019. Seperti jenama-jenama lain, ia terpaksa beralih ke perniagaan menjual barang-barang lain seperti pakaian sukan, produk gaya hidup, beg galas dan cenderamata.

The Planet Traveller pula menggiatkan saluran penjualan onlinenya setelah perniagaan biasanya mula suram.

Demi bertakat, perniagaan terpaksa menjimat kos.

Bagi Encik Rafeeq, ini bermakna terpaksa membuat keputusan perit melepaskan 10 daripada 17 pekerjanya. Kebanyakan daripada mereka sudah bekerja dengannya selama lebih sedekad.

Syarikat itu juga cuba membeli beberapa mata wang dan tunggu untuk kadar pertukaran meningkat sebelum menjualnya. Namun ini tidak menjamin keuntungan, kata Encik Rafeeq.

"Setiap bulan kami mengalami defisit, kerugian dari segi sewa dan gaji, jadi kami menggunakan wang simpanan kami sendiri. Saya sangat risau."

BELUM TERLEPAS BAHAYA

Walaupun keadaan semakin baik, para peniaga masih belum terlepas dari bahaya.

Cik Poon dari Winter Time berkata meskipun penjualan meningkat, ia masih jauh dari prestasi sebelum pandemik.

Kedai online Luggage Outlet menyatakan jualan meningkat dengan ketara selepas pengumuman VTL – namun ia menambah bahawa ini mungkin kerana secara kebetulan berlaku serentak dengan kempen edagang besar-besaran dalam tempoh yang sama.

"Berdasarkan corak pembelian, kami belum dapat melihat dengan jelas jumlah pelawat wisata," kata pemiliknya, Tan Wei Li.

“Kebanyakan orang masih membeli beberapa bagasi dalam saiz yang paling besar. Kami berpendapat bahawa kebanyakan daripada mereka nampaknya orang asing (pembantu rumah, ekspatriat) yang kembali ke negara asal mereka atau penduduk tempatan yang berpindah ke luar negara."

Satu lagi pengurup wang, Regent Money Changer, juga tidak meraih manfaat daripada pertambahan laluan perjalanan. Ini kerana cawangannya masih ditutup kerana ia terletak di hotel yang digunakan oleh pengunjung yang dikuarantin.

Perniagaannya juga sangat bergantung pada mereka yang melakukan perjalanan ulang alik ke negara-negara terdekat seperti China, Thailand atau India, yang mana perjalanan bebas kuarantin belum ditawarkan, kata Encik Abdul Mu'id, yang sebelum ini menolong ayahnya mengendalikan perniagaan.

Mereka juga tidak bergantung harapan kepada pemulihan pantas pelancongan.

"Walaupun sempadan dibuka dan anda boleh melakukan perjalanan, untuk kembali ke keadaan seperti biasa - saya rasa ia tidak akan berlaku sekarang, mungkin selepas lima tahun," katanya.

Mengulas sama ada perniagaan akan terus pulih, Cik Lim dari The Travel Store berkata: "Saya berpendapat kebanyakan warga Singapura masih sangat konservatif, mereka mahu pantau dan lihat...Jadi mungkin tahun depan (perniagaan) akan pulih lagi.

"Saya tidak pasti (sejauh mana penjualan akan meningkat), namun sekurang-kurangnya ia meningkat, jadi saya sudah gembira...Selagi ia meningkat, kami masih ada sinar harapan." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan