Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Saktiandi: Syarikat pemula Melayu/Islam perlu beranikan diri, tinjau peluang sektor bukan konvensional

Syarikat pemula niaga Melayu/Islam perlu memberanikan diri tinjau peluang sektor-sektor yang bukan konvensional. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Syarikat pemula niaga Melayu/Islam perlu memberanikan diri tinjau peluang sektor-sektor yang bukan konvensional.

Akur pengusaha Melayu/Islam mempunyai idea perniagaan yang kreatif dan menarik, Penasihat Bersama Jawatankuasa Syarikat Pemula MENDAKI Saktiandi Supaat berkata mereka harus mengubah persepsi dan meninjau peluang melangkaui bidang kreatif sebagai perniagaan pilihan mereka.

Beliau yang juga anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh berkata demikian di sebuah sesi rangkaian bersama
yang dianjurkan Jawatankuasa tersebut buat pertama kalinya malam semalam (15 Nov).

RANCAKKAN KEPELBAGAIAN

Jawatankuasa Syarikat Pemula MENDAKI diasaskan pada tahun lalu, bertujuan menjadi tempat rujukan untuk syarikat pemula niaga yang mahu mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka.

Bersama tujuh anggota jawatankuasa sekarang ini, mereka sudah menjalankan empat sesi rangkaian bagi mengenal pasti amalan terbaik yang boleh dikongsi, selain cabaran-cabaran yang selalunya dihadapi mereka.

Selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa itu, Encik Saktiandi yang juga Anggota Parlimen bagi GRC Bishan-Toa Payoh menekankan, platform yang disediakan merupakan satu inisiatif penting bagi generasi muda bertukar idea antara satu sama lain selain menggalak kolaborasi silang sektor.

Modal sosial menerusi sesi rangkaian seperti ini amat diperlukan lebihan lagi di tengah-tengah keadaan ekonomi yang merundum sekarang ini, jelas Encik Saktiandi.

"Saya melihatnya dari kepelbagaian, kita tidak mahu semua pekerja Melayu/Islam Singapura ataupun anak-anak Melayu/Islam kita tidak kira umur, menceburi satu bidang sahaja, kita tidak mahu ada sedikit kepelbagaian dalam peningkatan kita di dalam sektor-sektor tertentu.

"Syarikat pemula bukan satu sektor sahaja, mungkin pada masa akan datang, syarikat pemula akan memberikan laluan kepada sektor-sektor baru.

"Jadi perlu bagi masyarakat Melayu/Islam kita dengan rakan-rakan kerjasama... kerana ia adalah satu jalanan atau platform yang inovatif yang mungkin boleh menceburi idea-idea dan sektor-sektor baru pada masa akan datang," kongsi Encik Saktiandi yang juga merupakan seorang yang pakar dalam bidang kewangan dan ekonomi.

JANGAN SELESA DENGAN KEJAYAAN

Syarikat pemula juga nasihatnya tidak harus berasa selesa dengan kejayaan.

Sebaliknya ia perlu sentiasa menambah baik syarikat tersebut dengan meneroka peluang mengembangkan perniagaan di negara-negara Asia selain mengikuti persekitaran perniagaan global yang pesat serta dipacu oleh aspek pendigitalan.

Pentingnya isu kemampanan pelan perniagaan turut disentuh Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Cik Rahayu Buang.

"MENDAKI menyokong para karyawan dan juga usahawan muda kita untuk mengadakan inisiatif begini agar mereka dapat mempersiapkan diri dan juga perniagaan mereka, usaha mereka untuk masa hadapan.

"Menerusi sesi seperti ini, mereka juga dapat mengenalpasti apakah skema-skema ataupun pertolongan dan bantuan yang mereka boleh dapat untuk mengembangkan lagi perniagaan dan idea-idea mereka, sekaligus ini juga memberikan mereka peluang untuk mengetahui bagaimana untuk mempersiapkan diri mereka dengan menggunakan teknologi baru bagi meluaskan lagi dan membina lagi idea dan usaha-usaha perniagaan mereka," tambahnya.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa itu sendiri, Cik Nurul Jihadah Hussain, beliau berharap sesi seperti itu dapat mencetuskan sesuatu yang unik dalam kalangan anggota kumpulan itu.

"Kami harap bahawa kumpulan ini akan memudahkan perjalanan perniagaan mereka dan memberi sokongan kepada mereka kerana kumpulan ini akan memberikan mereka yang ada syarikat yang baru untuk dapat maklum balas atau membentuk sesuatu yang unik untuk masa depan dan kami rasa bahawa ada banyak yang mereka boleh dapati dari komuniti yang berdaya bingkas," tekannya.

Jawatankuasa Syarikat Pemula MENDAKI akan menganjurkan tiga lagi sesi rangkaian kerja pada tahun depan meliputi tema seperti bimbingan mentor dan peluang pekerjaan di luar negara.

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan