Skip to main content

Kewangan

Saham SG terjejas teruk; Indeks ST jatuh 8.6% paras terendah dalam sehari

Indeks Straits Times Singapura (STI) hari ini (7 Apr) mencatat antara kemerosotan paling besar dalam tempoh sehari, iaitu sebanyak 8.66 peratus, dengan saham perbankan antara yang paling rugi.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Apr 2025 07:43PM Dikemas Kini : 07 Apr 2025 10:06PM
SINGAPURA: Indeks Straits Times Singapura (STI) hari ini (7 Apr) mencatat antara kemerosotan paling besar dalam tempoh sehari, iaitu sebanyak 8.66 peratus, dengan saham perbankan antara yang paling rugi.

STI menyaksikan penurunan harga saham bagi sebahagian besar waktu perdagangan, dan merosot sebanyak 7.4 peratus di penghujung waktu perdagangan.

Ini disebabkan tarif baharu yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang mula berkuat kuasa minggu ini.

Ketua pasaran pengguna dan internet di Aletheia Capital, Nirgunan Tiruchelvam berkata: "Tidak dinafikan ini adalah satu tamparan hebat kepada STI. Ia harus dilihat dalam konteks bahawa Singapura merupakan ekonomi yang banyak bergantung kepada perdagangan, dan pasaran melihat tarif (pentadbiran) Trump dengan sangat bimbang, khususnya dari segi potensi kesannya ke atas ekonomi yang bergantung kepada perdagangan seperti Singapura."

STI memantau prestasi 30 syarikat terunggul yang disenaraikan di bursa Singapura dan dianggap sebagai tanda ukur bagi prestasi pasaran.

Kemerosotan yang dicatat hari ini merupakan yang terbesar sejak kejatuhan 8.9 peratus semasa krisis kewangan global pada 2008.

Ia turut mengatasi kemerosotan sebanyak 8.4 peratus yang dicatat pada Mac 2020 semasa pandemik COVID-19.

Seorang pemerhati pasaran berkata, para pelabur semakin berwaspada ekoran tarif pentadbiran Encik Trump.

Pengarah kanan khidmat kewangan Phillip Securities, Louis Koay, berkata: "Apabila berlaku berita buruk, kita akan lihat lebih ramai orang menjual (saham) kerana cemas.

"Sudah tentu, kesan hebat perang dagang ini akan menjejas ekonomi, disebabkan tarif-tarif yang tinggi.

"Tetapi skala kesannya masih belum dapat dipastikan. Maksudnya, para pelabur tidak suka keadaan tidak menentu.

"Disebabkan ketidaktentuan pada masa terdekat ini, ramai cenderung untuk tidak terlibat, lantas menyebabkan banyak saham dijual."
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita