Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Saham hartanah S'pura jatuh susuli pengumuman langkah baru redakan pasaran

Saham firma-firma hartanah Singapura merosot hari ini (16 Dis), selepas Pemerintah mengumumkan beberapa langkah baru yang tidak dijangkakan untuk meredakan pasaran kediaman privet serta flat jualan semula HDB.

Anggaran Waktu Membaca:
Saham hartanah S'pura jatuh susuli pengumuman langkah baru redakan pasaran

Gambar fail: Jeremy Long

Diterbitkan : 16 Dec 2021 11:29AM Dikemas Kini : 16 Dec 2021 11:29AM

SINGAPURA: Saham firma-firma hartanah Singapura merosot hari ini (16 Dis), selepas Pemerintah mengumumkan beberapa langkah baru yang tidak dijangkakan untuk meredakan pasaran kediaman privet serta flat jualan semula HDB.

Saham pemaju City Developments jatuh 3.1 peratus, atau S$0.22, kepada S$6.85 pada awal perdagangan. Sementara itu, saham para pemaju lain seperti UOL susut 2.1 peratus, atau S$0.15, kepada S$6.95 manakala Oxley Holdings hilang 3.2 peratus kepada S$0.18 berbanding perdagangan sebelumnya.

Saham agensi hartanah PropNex menjunam 11.2 peratus, atau S$0.20, kepada S$1.58.

Sementara itu, saham perniagaan broker hartanah, APAC Realty, merosot 13.1 peratus, atau S$0.10, kepada S$0.66.

Langkah-langkah peredaan baru itu melibatkan penyesuaian kepada kadar Cukai Setem Tambahan Pembeli (ABSD) dan had Nisbah Antara Pinjaman dan Nilai Hartanah (LTV) bagi pembelian hartanah kediaman.

Kadar ABSD untuk rakyat dan penduduk tetap Singapura yang membeli hartanah kediaman pertama mereka masing-masing kekal pada 0 peratus dan 5 peratus. Namun, bagi mereka yang membeli rumah buat kali kedua atau selanjutnya, mereka akan berdepan kenaikan ABSD sebanyak lima hingga 15 peratusan mata.

Warga asing dan entiti juga akan menanggung ABSD lebih tinggi apabila membeli mana-mana hartanah kediaman.

Ambang TDSR akan diperketatkan dari 60 peratus kepada 55 peratus. Ia akan dikenakan ke atas pinjaman bagi pembelian hartanah, di mana pilihan untuk membeli diberikan pada atau selepas 16 Disember serta bagi permohonan pinjaman pengeluaran ekuiti gadai janji yang dibuat pada atau selepas 16 Disemer.

Secara berasingan, LTV untuk pinjaman daripada HDB akan dikurangkan dari 90 peratus kepada 85 peratus. Ini tertakluk kepada permohonan flat baru bagi penjualan yang dilancarkan selepas 16 Disember dan permohonan lengkap flat jualan semula yang diterima oleh HDB dari 16 Disember.

Pihak berkuasa juga berikrar untuk menambah bekalan bagi kedua-dua perumahan awam dan privet untuk memenuhi permintaan. Lebih banyak butiran dijangka didedahkan hari ini.

Nisbah antara harga rumah dan pendapatan juga menunjukkan "momentum peningkatan yang jelas" manakala jumlah urus niaga dalam pasaran perumahan privet dan flat jualan semula HDB kekal tinggi meskipun di tengah-tengah kemelesetan ekonomi dek COVID-19.

Demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada lewat Rabu (15 Dis) malam.

"Jika dibiarkan tanpa dikawal, harga mungkin melepasi asas ekonomi dan meningkatkan risiko langkah pembetulan yang tidak stabil pada kemudian hari. Peminjam juga akan terdedah kepada kemungkinan kenaikan kadar faedah pada tahun-tahun mendatang," tambahnya.

Penganalis CGS-CIMB, Lock Mun Yee, berkata tindak balas mendadak yang negatif terhadap pasaran hartanah dijangkakan, dengan sentimen dijangka terjejas dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun dengan para pemaju yang sudahpun berdagang pada diskaun yang besar, sebahagiannya disebabkan jangkaan terhadap langkah-langkah baru bagi meredakan pasaran hartanah, "pengguguran diskaun yang sedemikian dan keadaan inventori yang bertambah baik daripada pertambahan bekalan perumahan privet dan awam mungkin menyokong prestasi harga saham dalam jangka sederhana", ujarnya.

Indeks Straits Times lebih meluas menokok 0.1 peratus kepada perdagangan terakhir 3,119.09, pada pukul 9.20 pagi.

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa