Saham bank SG pulih semula selepas jatuh hampir S$49 bilion angkara tarif Trump
Saham tiga bank tempatan pada pagi Khamis (10 Apr) pulih daripada paras terendah dalam tempoh beberapa bulan, dengan kenaikan yang lebih meluas dalam pasaran kewangan di seluruh rantau ini selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan penggantungan tarif selama 90 hari bagi kebanyakan negara.
Seorang lelaki berjalan di hadapan mesin OCBC dan UOB. (Gambar fail: Reuters)
Setakat sehingga pukul 11.43 pagi, DBS naik 7 peratus pada S$39.78. OCBC pula melonjak 7.3 peratus kepada S$15.47, manakala UOB meningkat 6.6 peratus kepada S$33.04.
Sebelum ini, saham ketiga-tiga bank itu telah mencatat penurunan dua angka sejak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan tarif menyeluruh ke atas berpuluh-puluh negara seminggu lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlaku perang dagang global dan kemelesetan ekonomi.
Berdasarkan harga yang ditutup pada akhir sesi dagang pada Rabu (9 Apr), nilai saham ketiga-tiga pemiutang tempatan itu secara kolektif merosot S$48.8 bilion sejak 2 Apr.
Para penganalisis, yang telah menurunkan ramalan mereka untuk ketiga-tiga bank tempatan itu turut mengurangkan harga saham yang disasarkan sejak beberapa hari kebelakangan ini, sambil menyeru agar terus berhati-hati dalam ketidaktentuan yang semakin memuncak.
“Keputusan Encik Trump ini berisiko menyebabkan pergolakan, (yang) akan menjejas perbelanjaan modal korporat dan rancangan rantaian bekalan, mendorong permintaan lebih rendah,” kata penganalisis Maybank Thilan Wickramasinghe kepada Mediacorp.
"Kerosakan telah berlaku. Ini akan memberi kesan kepada keadaan operasi untuk bank-bank dengan permintaan kredit dan yuran yang lebih rendah, di samping meningkatkan risiko pada mutu aset."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.