Saham Asia, yen bertahan di tengah ketidaktentuan Jepun
Saham Asia dan mata wang yen kekal stabil pada Isnin (22 Jul) selepas pilihan raya Jepun menunjukkan prestasi buruk bagi pemerintah negara tersebut, namun keputusan itu sudah pun dijangka dan tidak memberi kejutan besar terhadap pasaran.
Arca lembu diletakkan di hadapan skrin yang memaparkan indeks saham Hang Seng dan harga saham di luar Exchange Square, Hong Kong, pada 18 Ogos 2023. (Gambar fail: REUTERS/Tyrone Siu)
Para pelabur turut menaruh harapan terhadap kemajuan rundingan perdagangan menjelang tarikh akhir tarif 1 Ogos yang ditetapkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick, menyatakan keyakinan bahawa perjanjian boleh dicapai dengan Kesatuan Eropah (EU).
Terdapat laporan bahawa Encik Trump dan Presiden China Xi Jinping semakin hampir untuk mengaturkan sebuah pertemuan, walaupun ia dijangka tidak akan berlangsung sebelum Oktober.
Di Jepun, pemerintah gabungan hilang kawalan ke atas dewan negara dalam pilihan raya pada Ahad, sekali gus melemahkan lagi cengkaman Perdana Menteri Shigeru Ishiba, sedang tarikh akhir tarif semakin hampir.
Encik Ishiba menyatakan hasrat untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri. Disebabkan cuti pasaran di Jepun, reaksi pasaran kekal sederhana, dengan yen mengukuh 0.4 peratus kepada 148.29 berbanding dolar Amerika Syarikat.
“Ishiba mungkin akan cuba mentadbir dengan sokongan daripada beberapa pihak pembangkang, namun ini berkemungkinan membawa kepada dasar fiskal yang lebih longgar dan bukan berita baik untuk hasil bon,” kata Rodrigo Catril, pakar strategi mata wang kanan di NAB.
“Sejarah juga menunjukkan bahawa ketidaktentuan politik domestik cenderung menyebabkan Bank of Japan mengambil pendekatan tunggu dan lihat, jadi kemungkinan kenaikan kadar faedah akan terus tertangguh.”
Bank pusat Jepun masih cenderung kepada kenaikan kadar faedah, tetapi pasaran menjangkakan ia tidak akan berlaku sekurang-kurangnya sehingga penghujung Oktober.
Sementara indeks Nikkei ditutup, niaga hadapan diperdagangkan pada 39,875, sedikit lebih tinggi berbanding penutupan tunai pada 39,819.
Indeks terluas MSCI bagi saham Asia-Pasifik di luar Jepun mendatar, manakala saham Korea Selatan naik 0.4 peratus.
LAPORAN PENDAPATAN SYARIKAT-SYARIKAT GERGASI
Niaga hadapan S&P 500 dan Nasdaq masing-masing meningkat 0.1 peratus, dan kini berada pada paras tertinggi sepanjang masa menjelang laporan pendapatan kukuh yang dijangka dikeluarkan.
Beberapa syarikat utama yang akan melaporkan pendapatan mereka pada minggu ini termasuk Alphabet dan Tesla, selain IBM.
Pelabur juga menjangkakan berita positif daripada kumpulan pertahanan seperti RTX, Lockheed Martin dan General Dynamics. Peningkatan perbelanjaan pemerintah di seluruh dunia menyebabkan sektor aeroangkasa dan pertahanan dalam S&P 500 meningkat sebanyak 30 peratus tahun ini.
Dalam pasaran bon, niaga hadapan Perbendaharaan Amerika Syarikat kekal stabil selepas mencatat sedikit penurunan hujung minggu lalu, susulan kenyataan Gabenor Rizab Persekutuan, Christopher Waller, yang sekali lagi menggesa pengurangan kadar faedah bulan ini.
Sebahagian besar rakan sejawatannya, termasuk Pengerusi Jerome Powell, berpendapat bahawa penangguhan wajar dibuat bagi menilai kesan sebenar tarif terhadap inflasi. Pasaran kini menunjukkan kemungkinan hampir sifar bagi pelonggaran pada Julai. Pengurangan pada September diletakkan pada kadar 61 peratus, namun meningkat kepada 80 peratus bagi Oktober.
Keengganan Encik Powell untuk menurunkan kadar faedah menimbulkan kemarahan Encik Trump, yang mengugut untuk memecat ketua Fed itu sebelum menarik balik ancaman tersebut. Bayangan pelantikan politik yang mungkin melonggarkan dasar secara agresif terus menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur.
Bank Pusat Eropah akan bermesyuarat minggu ini dan dijangka mengekalkan kadar faedah pada 2.0 peratus selepas beberapa siri pengurangan sebelum ini.
“Sidang akhbar dijangka akan terus menekankan ketidaktentuan dan keperluan untuk menunggu hasil rundingan tarif sebelum memutuskan langkah seterusnya,” menurut penganalisis TD Securities dalam satu nota. “Begitu juga, gaya kenyataan ‘mesyuarat demi mesyuarat’ dijangka akan dikekalkan dalam kenyataan rasmi.”
Euro tidak berubah pada AS$1.1630 (S$1.49) dalam dagangan awal, selepas susut 0.5 peratus minggu lalu dan menjauh daripada paras tertinggi bagi hampir empat tahun iaitu AS$1.1830 (S$1.52). Indeks dolar pula sedikit lemah pada 98.40.
Dalam pasaran komoditi, harga emas tidak banyak berubah pada AS$3,348 (S$4,301.36) seauns, dengan tumpuan pasaran kini lebih kepada platinum, yang mencecah paras tertinggi minggu lalu sejak Ogos 2014.
Harga minyak pula dipengaruh prospek peningkatan bekalan daripada OPEC+ dan risiko sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap Rusia berikutan perang di Ukraine yang boleh menjejaskan eksport negara itu.
Minyak Brent naik 0.1 peratus kepada AS$69.36 (S$89.11) setong, manakala minyak mentah Amerika Syarikat naik 0.1 peratus kepada AS$67.39 (S$86.58)setong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.