Saham Asia merosot, harga minyak naik, sedang dunia tunggu reaksi Iran
Niaga hadapan saham Wall Street susut pada Isnin (23 Jun) manakala harga minyak melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lima bulan, sedang pelabur menunggu untuk melihat sama ada Iran akan bertindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas tapak nuklearnya, situasi yang boleh menjejas pertumbuhan global dan mendorong tekanan inflasi.
Seorang wanita memegang payung berjalan melepasi papan yang menunjukkan harga saham di Tokyo, pada 30 Jun 2015. (Gambar: REUTERS/Toru Hanai)
Pergerakan awal kekal terkawal. Nilai dolar hanya mencatat kenaikan kecil sebagai aset selamat, tanpa tanda-tanda jualan panik di seluruh pasaran.
Harga minyak naik sekitar 2 peratus tetapi sudah menyusut daripada paras tertingginya.
Golongan optimis berharap Iran akan mengalah selepas program nuklearnya dilumpuhkan, malah ada yang menjangka perubahan rejim mungkin membolehkan pemerintah baharu yang kurang bermusuhan.
Namun, penganalisis JPMorgan memberi amaran bahawa perubahan rejim di rantau berkenaan sebelum ini lazimnya menyebabkan lonjakan harga minyak sehingga 76 peratus, dengan purata peningkatan sekitar 30 peratus.
Akses menerusi Selat Hormuz, dengan kelebaran 33 kilometer pada bahagian tersempitnya, kekal penting, memandangkan ia menjadi laluan bagi sekitar 20 peratus daripada penggunaan minyak harian dunia.
“Dengan pelibatan Amerika Syarikat, risiko Iran bertindak balas dengan mengganggu aliran minyak dari Timur Tengah meningkat dengan ketara,” kata penganalisis ANZ.
“Harga dalam julat AS$90–95 (S$116-122) setong berkemungkinan menjadi hasilnya.”
Buat masa ini, harga minyak Brent naik sebanyak 1.9 peratus kepada AS$78.46 (S$101.15) setong, manakala minyak mentah Amerika Syarikat meningkat 2 peratus kepada AS$75.30 (S$97.08).
Di pasaran komoditi lain, harga emas naik 0.2 peratus kepada AS$3,375 (S$4,350) setiap auns.
Pasaran saham setakat ini menunjukkan ketahanan, dengan niaga hadapan S&P 500 turun 0.3 peratus manakala Nasdaq susut 0.5 peratus, selepas kedua-duanya bermula dengan kerugian hampir 1 peratus.
Niaga hadapan Nikkei turun sedikit kepada 38,380, menandakan penurunan kecil bagi indeks tunai.
Dolar Amerika Syarikat meningkat 0.2 peratus berbanding yen Jepun kepada ¥146.36, manakala euro menyusut 0.3 peratus kepada AS$1.1485 (S$1.48). Indeks dolar mengukuh 0.25 peratus kepada 99.008.
Tiada tanda pelabur beralih kepada Perbendaharaan, dengan niaga hadapan naik hanya satu mata.
Niaga hadapan bagi kadar faedah Rizab Persekutuan juga turun satu mata, mencerminkan kebimbangan bahawa kenaikan harga minyak secara berterusan boleh menambah tekanan inflasi ketika tarif baru mula dirasai dalam harga Amerika Syarikat.
Pasaran masih menetapkan kemungkinan kecil bahawa Persekutuan akan menurunkan kadar pada mesyuarat seterusnya pada 30 Julai, walaupun Gabenor Fed, Christopher Waller, menyatakan sokongan terhadap pelonggaran dasar pada bulan itu.
Sebahagian besar anggota Persekutuan lain, termasuk Pengerusi Jerome Powell, mengambil pendekatan lebih berhati-hati.
Sekurang-kurangnya 15 pegawai Persekutuan akan berucap minggu ini, dan Encik Powell dijadualkan menjawab soalan di Kongres selama dua hari, yang pasti akan menyentuh impak tarif Presiden Donald Trump dan serangan ke atas Iran.
Isu Timur Tengah juga dijangka menjadi agenda utama dalam mesyuarat pemimpin NATO di The Hague minggu ini, di mana kebanyakan negara anggota bersetuju untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan dengan ketara.
Antara data ekonomi yang akan diterbitkan minggu ini termasuk perangkaan inflasi teras Amerika Syarikat dan tuntutan pengangguran mingguan, serta bacaan awal aktiviti kilang bagi Jun dari seluruh dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.