S'pura, Perancis perkukuh kerjasama bidang penyelidikan
Singapura dan Perancis sedang memperkukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bersama bagi Sains dan Inovasi.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat di upacara penutup Tahun Inovasi Perancis-Singapura pada Jumaat (15 Mac).
SINGAPURA: Singapura dan Perancis sedang memperkukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bersama bagi Sains dan Inovasi.
Jawatankuasa itu melibatkan para pemain utama industri dari kedua-dua negara bagi menggalak kerjasama serta merangsang lebih banyak pertukaran dalam bakat penyelidikan dan inovasi.
Kerjasama itu dipertingkatkan sedang kedua-dua negara berusaha untuk membangunkan hab inovasi global.
Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan kerjasama itu di upacara penutup Tahun Inovasi Perancis-Singapura semalam (15 Mac).
Lebih 60 acara dianjurkan sejak tahun lalu bagi menggalak kerjasama industri dan penyelidikan.
Di acara itu, Encik Heng turut menekankan pentingnya bagi negara-negara menangani cabaran-cabaran yang dikongsi bersama. Ini termasuk pengganasan, perubahan iklim dan keadaan penduduk yang semakin menua.
"Tiada satu pun negara yang mempunyai semua kepakaran yang diperlukannya. Kita perlu mencari huraian baru bagi mempersiapkan prasarana kita bagi masa hadapan, dan menangani kos jagaan kesihatan yang semakin meningkat. Selain itu, kita juga perlu memikir semula mengenai peranan dan masa hadapan bidang pendidikan.
"Oleh itu, saya berbesar hati bahawa Perancis dan Singapura komited untuk memperkukuhkan kerjasama antarabangsa serta bekerjasama dengan negara-negara dengan matlamat serupa untuk mengenal pasti huraian bagi cabaran-cabaran tersebut," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.