Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

S'pura mungkin perluas model gaji progresif ke sektor runcit

Singapura sedang mempertimbangkan Model Gaji Progresif (PWD) bagi sektor runcit, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad pada Selasa (23 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura mungkin perluas model gaji progresif ke sektor runcit

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 23 Feb 2021 05:37PM Dikemas Kini : 23 Feb 2021 05:41PM

SINGAPURA: Singapura sedang mempertimbangkan Model Gaji Progresif (PWD) bagi sektor runcit, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad pada Selasa (23 Feb).

Model Gaji Progresif merupakan dasar yang direka untuk menaikkan gaji para pekerja berpendapatan rendah dengan meningkatkan kemahiran dan daya penghasilan mereka. Skim itu bermula pada 2015. Jika disertakan, sektor runcit akan menjadi sektor keenam di bawah model gaji progresif.

Ia akan meliputi para pekerja seperti juruwang dan jurujual di pasar raya, kedai runcit dan kedai peruncit fesyen, kata Encik Zaqy semasa satu sidang media selepas bercakap dengan para pekerja dari sebuah kedai peruncit di Jewel Lapangan Terbang Changi. Beliau mengetuai kumpulan kerja perikatan tiga pihak mengenai para pekerja berpendapatan lebih rendah yang dilancarkan pada Oktober lalu.

Sekarang, sekitar 45 peratus pekerja sepenuh masa sektor runcit yang merupakan penduduk meraih pendapatan 20 peratus dan ke bawah daripada tenaga kerja tempatan, iaitu paling rendah sebanyak S$2,340 termasuk sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) setakat Jun 2020.

Berdasarkan pendapatan kasar, jumlah pendapatan 20 peratus ke bawah bagi sektor runcit kini adalah sekitar $2,000, kata Encik Zaqy, sambil menambah bahawa para penggubal dasar sedang berunding dengan pihak berkepentingan dalam industri. Tiada kajian dijalankan sejauh ini, katanya, dan lebih banyak butiran akan diberikan oleh kumpulan kerja itu pada separuh kedua tahun ini.

Jumlah tinggi pekerja runcit yang berpendapatan rendah adalah sebab utama Pemerintah mempertimbangkan sektor itu bagi model gaji progresif, katanya.

Encik Zaqy menggariskan dua cabaran unik yang dihadapi oleh sektor ini. Pertama, tidak seperti sektor-sektor lain di bawah model gaji progresif, sektor runcit tidak berlesen dan peraturan baru mungkin perlu dilaksanakan. Kedua, para penggubal dasar perlu mengkaji bagaimana para pemain e-komersil boleh disertakan ke dalam skim itu.

"Pastinya ia perlu melibatkan beberapa penggerak," kata Encik Zaqy.

Sektor itu juga amat berbagai merangkumi butik-butik mewah hingga ke kedai-kedai runcit di kawasan kejiraran, dengan setiap perniagaan mempunyai struktur gaji dan pengambilan pekerja. Misalnya, sebuah kedai kendiri mungkin adalah perniagaan milik keluarga - sama ada tangga gaji itu terpakai ke atas perniagaan sedemikian adalah sesuatu untuk dibincangkan, kata Encik Zaqy.

Kos gaji bagi pekerja runcit mungkin naik sekitar lima peratus jika model gaji itu terlaksana, kata Encik Zaqy, sambil menukil simulasi yang dijalankan oleh pasukannya. Ini mungkin menaikkan harga barangan dan khidmat.

"Ia tidak begitu mudah," katanya. "Ada yang akan katakan, 'tiada masalah, saya bersedia untuk membayar'. Namun bagi yang lain, misalnya, di pasar-pasar basah di kawasan kejiranan, anda (mungkin tidak) mahu menaikkan kos kerana ramai pekerja berpendapatan lebih rendah berbelanja di sana juga."

Selain daripada meningkatkan gaji dan prospek kerjaya para pekerja runcit, Pemerintah berharap model gaji progresif akan dapat menarik lebih ramai warga tempatan untuk bekerja dalam sektor yang mempunyai kesukaran mendapatkan pekerja, katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan