S'pura-EU usahakan perjanjian kerjasama dalam bidang digital
Singapura dan Kesatuan Eropah (EU) sedang mengusahakan satu perjanjian kerjasama dalam bidang digital.
SINGAPURA: Singapura dan Kesatuan Eropah (EU) sedang mengusahakan satu perjanjian kerjasama dalam bidang digital.
Rancangan itu diumumkan bersama oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan S Iswaran dengan Pesuruhjaya Perdagangan Eropah Valdis Dombrovskis semasa satu sidang media di Brussels, Belgium.
Sebuah kumpulan kerja sudahpun dibentuk bagi menetapkan skop perjanjian kerjasama digital antara Singapura dengan Kesatuan Eropah (EU).
Encik Iswaran berkata perjanjian seumpama itu akan membolehkan perniagaan-perniagaan di Eropah dan Singapura dihubungkan secara digital dengan rakan perniagaan di negara-negara lain.
"Ini akan memudahkan akses kepada pasaran luar negara, meningkatkan kecekapan perniagaan dan mengurangkan kos operasi," kata beliau.
"Perjanjian atau kerjasama digital itu juga akan membuka lebih banyak peluang kerjasama antara syarikat-syarikat Eropah dengan Singapura bagi membolehkan syarikat-syarikat tersebut memanfaatkan kepakaran dan rangkaian satu sama lain bagi menghasilkan khidmat dan produk lebih baik," tambahnya.
Semasa sidang media tersebut, kedua-dua pemimpin turut menilai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dikuatkuasakan pada November 2019.
Singapura juga berminat untuk bekerjasama dengan EU dalam bidang-bidang lain seperti ekonomi mesra alam.
Encik Iswaran menambah EU mempunyai banyak pengalaman dalam bidang-bidang seperti kewangan mampan dan huraian teknologi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.