Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

S'pura, Estonia meterai MOU galak syarikat pemula kongsi kepakaran bidang keselamatan siber

Singapura dan Estonia menandatangani satu MOU yang baru pada Isnin (6 Sep), dengan bidang kerjasama utama termasuk lebih banyak akses pasaran untuk syarikat, membuka laluan kepada lebih banyak kerjasama antara syarikat-syarikat pemula dan berkongsi kepakaran mengenai dasar keselamatan siber.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, Estonia meterai MOU galak syarikat pemula kongsi kepakaran bidang keselamatan siber

Cik Josephine Teo tanda tangani MOU dengan Menteri Keusahawanan dan Teknologi Maklumat Estonia, Andres Sutt. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 08 Sep 2021 05:48PM Dikemas Kini : 08 Sep 2021 05:51PM

SINGAPURA: Singapura dan Estonia menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang baru pada Isnin (6 Sep), dengan bidang kerjasama utama termasuk lebih banyak akses pasaran untuk syarikat, membuka laluan kepada lebih banyak kerjasama antara syarikat-syarikat pemula dan berkongsi kepakaran mengenai dasar keselamatan siber.

Bercakap dengan para wartawan menerusi Zoom pada Rabu ketika melakukan lawatan kerja ke Tallinn, Estonia, Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo berkata: “Kami membincangkan beberapa bidang yang benar-benar patut diusahakan. Estonia berminat dengan Asia dan melihat Singapura berpotensi menjadi pintu gerbang, batu loncatan untuk perniagaan-perniagaannya."

MOU antara Singapura dengan Estonia ditandatangani oleh Cik Teo dan Menteri Keusahawanan dan Teknologi Maklumat Estonia Andres Sutt.

Di bawah MOU itu, kedua-dua negara juga komited untuk berkongsi kepakaran dalam bidang dasar keselamatan siber dan perlindungan prasarana maklumat kritikal, serta mengambil bahagian dalam operasi yang berkaitan dengan ancaman siber, menurut Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dalam kenyataan medianya.

Kedua-dua menteri turut membincangkan bagaimana ekosistem syarikat pemula di Singapura dan Estonia boleh dihubungkan dengan lebih baik lagi, kata Cik Teo.

Jumlah syarikat pemula bernilai tinggi - iaitu syarikat pemula swasta yang bernilai lebih AS$1 bilion - yang dihasilkan Estonia adalah "luar biasa" jika dibandingkan dengan jumlah penduduknya sekitar 1.3 juta orang, tambah Cik Teo. Misalnya, alat persidangan video Skype pada asalnya ditubuhkan di Estonia, katanya lagi.

MOU itu turut merangkumi kerjasama dalam bidang keselamatan siber, yang "menjadi keprihatinan" warga Estonia setelah negara itu mengalami serangan siber secara besar-besaran pada 2007, kata Cik Teo.

"Bagi warga Estonia, ia ibarat satu kejutan. Mereka mengkaji sepenuhnya pendirian mereka, dasar terhadap keselamatan siber. Salah satu perkara yang diputuskan oleh Estonia adalah betapa pentingnya untuk mereka membangkitkan topik ini di peringkat global,”tambah Cik Teo.

Kedua-dua Singapura dan Estonia secara aktif mengambil bahagian dalam Kumpulan Kerja Terbuka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OEWG) bagi keselamatan dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi - wadah pertama PBB bagi keselamatan siber, menurut MCI.

Semasa lawatannya ke Tallinn, Cik Teo diundang untuk menyampaikan ucapan di Sidang Puncak Digital Tallinn. Semasa menghadiri sidang puncak itu, beliau turut mengadakan "perbincangan substantif" dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Gina Raimondo, Setiausaha Negara Digital, Budaya, Media dan Sukan United Kingdom Oliver Dowden dan Pengarah Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa Doreen Bogdan-Martin.

Semasa satu perbincangan panel di sidang tersebut, Cik Teo berkongsi bahawa Singapura, sebagai pengerusi OEWG PBB dalam tempoh lima tahun akan datang, akan berusaha untuk memperkukuhkan aturan antarabangsa berasaskan peraturan bagi ruang siber.

Singapura dan Estonia berkongsi sudut pandangan yang serupa, tegas Cik Teo.

"Negara-negara kecil seperti kita perlu memastikan suara kita didengari dan kita juga dapat memainkan peranan dengan menyumbang pandangan yang berbeza dan cuba mencari kesamaan untuk maju," katanya lagi.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan