Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

S'pura akan peruntuk S$3.5 bilion untuk sokong peniaga, perusahaan terus dakapi teknologi infokom

Singapura akan membelanjakan sekitar S$3.5 bilion untuk memperolehi teknologi infokom (ICT) dalam tahun kewangan ini bagi merangsang ekonomi dan menyokong syarikat-syarikat perusahaan bangkit semula daripada pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura akan peruntuk S$3.5 bilion untuk sokong peniaga, perusahaan terus dakapi teknologi infokom

Orang ramai dilihat memakai pelitup dan menjaga jarak selamat di Singapura pada 27 Mac 2020. (Gambar fail: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 08 Jun 2020 04:40PM Dikemas Kini : 08 Jun 2020 11:11PM

SINGAPURA: Singapura akan membelanjakan sekitar S$3.5 bilion untuk memperolehi teknologi infokom (ICT) dalam tahun kewangan ini bagi merangsang ekonomi dan menyokong syarikat-syarikat perusahaan bangkit semula daripada pandemik COVID-19.

Perbelanjaan yang dianggarkan ini adalah 30 peratus lebih tinggi berbanding perbelanjaan S$2.7 bilion yang diusulkan bagi tahun kewangan yang lalu, menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) yang dikeluarkan pada Isnin (8 Jun).

"Perbelanjaan lebih tinggi ini akan membantu Pemerintah untuk mempercepatkan proses pendigitalan dengan teknologi memainkan peranan yang penting dalam membolehkan rakyat dan pekerja untuk menyambung semula kegiatan seharian dan untuk syarikat-syarikat perniagaan dibuka semula dengan selamat selepas 'circuit breaker' COVID-19," menurut GovTech.

Perbelanjaan ICT itu akan ditumpukan kepada lima bidang utama: Penghasilan peralatan teknologi baru sebagai tindak balas terhadap COVID-19, pembangunan khidmat digital yang mengutamakan rakyat dan perusahaan, pembangunan sistem-sistem ICT yang boleh dimuat naik ke pengkomputeran awan, pemodenan prasarana ICT pemerintah dan penggunaan analitik data, Kecerdasan Buatan (AI) dan sensor dalam sektor awam.

Menurut GovTech, perbelanjaan bagi Tahun Kewangan FY2020 akan merangkumi projek-projek ICT yang dipercepatkan gara-gara penularan wabak COVID-19.

Projek-projek ini termasuk pembangunan huraian teknologi sebagai respons terhadap COVID-19 dan ActiveSG Circle di bawah Sport Singapore yang dilancarkan pada April tahun ini yang bermatlamat untuk mempertingkatkan industri sukan Singapura melalui penggunaan teknologi.

LEBIH BANYAK SOKONGAN BAGI SME

Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) layak merebut 80 peratus daripada peluang-peluang pemerolehan ini. Pada tahun kewangan yang lalu, syarikat-syarikat SME diberikan hampir 70 peratus daripada keseluruhan kontrak ICT.

GovTech turut mendedahkan bahawa ia bekerja rapat dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memperhalusi dan memperkenalkan kaedah-kaedah baru pemerolehan bagi memudahkan akes kepada peluang-peluang pemerolehan ICT pemerintah.

Ini termasuk menggabungkan lebih banyak tender pukal dan kontrak dinamik bagi memendekkan proses pemerolehan ICT.

Bagi tahun kewangan ini, Pemerintah menurut GovTech, akan menawarkan tender-tender pukal bagi khidmat-khidmat seperti reka bentuk pengalaman pengguna, pembangunan aplikasi, sains data dan AI.

Bagi mengukuhkan keupayaan kejuruteraan dalaman pemerintah sambil mempercepatkan rentak pendigitalan, GovTech secara aktif merekrut para graduan baru dan karyawan yang berpengalaman sebagai sebahagian daripada inisiatif SGUnited Jobs.

Terdapat lebih 400 kerja kosong bagi peranan-peranan seperti jurutera sofwe, penganalisis perniagaan digital, pakar keselamatan siber, saintis data, jurutera AI dan spesialis prasarana.

Para pemohon boleh mendaftar secara online melalui kempen perekrutan maya GovTech selama lima minggu dari 21 Mei sehingga 21 Jun.

Perancangan bagi pemerolehan dan pendigitalan pemerintah biasanya diumumkan semasa Taklimat Negara Bijak dan Industri Pemerintah Digital.

Di tengah-tengah pandemik COVID-19, GovTech akan melancarkan pakej berbilang media online pemerintah pada Rabu yang akan mengandungi lebih banyak perincian mengenai tumpuan utama pendigitalan pemerintah dan ramalan perbelanjaan bagi bidang-bidang tertentu.

Sumber : CNA/AW/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan