Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

S'pura akan pastikan sistem cukai seiring norma antarabangsa tatkala urus beban pada perniagaan

Singapura akan terus memastikan sistem cukainya "seiring dengan norma antarabangsa tatkala menguruskan beban pentadbiran dan pematuhan ke atas perniagaan", kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Selasa (8 Jun). 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura akan pastikan sistem cukai seiring norma antarabangsa tatkala urus beban pada perniagaan

Kawasan perniagaan kewangan Raffles Place di Singapura pada 20 April 2021. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 08 Jun 2021 03:13PM Dikemas Kini : 08 Jun 2021 03:16PM

SINGAPURA: Singapura akan terus memastikan sistem cukainya "seiring dengan norma antarabangsa tatkala menguruskan beban pentadbiran dan pematuhan ke atas perniagaan", kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Selasa (8 Jun).

Ini setelah negara-negara anggota G7 mencapai kata sepakat pada Sabtu untuk menyokong kadar cukai syarikat global minimum sekurang-kurangnya 15 peratus dan melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan cukai dibayar di negara di mana perniagaan beroperasi.

Dalam satu catatan Facebook, Encik Wong berkata ia adalah terlalu awal untuk menyatakan apakah kesan perubahan yang disarankan itu terhadap Singapura.

"Apa yang kami tahu pastinya adalah bahawa peraturan antarabangsa untuk percukaian korporat akan berubah dan semua bidang kuasa perlu menyesuaikan sistem serta peraturan cukai mereka," tulisnya.

“Bagi kesan pendapatan, ia akan bergantung kepada garis-garis penentuan yang ditetapkan, peraturan yang dibuat dan lebih penting, bagaimana pemerintah serta perniagaan berbeza memberi respons terhadapnya," tambah beliau.

Negara-negara anggota G7 meliputi Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Britain, Perancis, Itali dan Kanada.

Komitmen yang dibuat pada Sabtu lalu adalah untuk mempunyai kadar cukai minimum sejagat yang akan dikenakan ke atas keuntungan luar negara.

Pemerintah masih boleh menetapkan apa jua kadar cukai korporat tempatan yang diinginkan tetapi jika syarikat membayar kadar lebih rendah dalam sesebuah negara, pemerintah mereka boleh "menokok" cukai mereka untuk mencapai kadar minimum sekali gus menyingkirkan kelebihan bagi peralihan keuntungan.

Perincian utama masih lagi akan dirundingkan sepanjang beberapa bulan mendatang.

“Saranan melibatkan perubahan asas kepada peraturan cukai antarabangsa," kata Encik Wong.

“Ini akan bermakna memperuntukkan lebih banyak hak pencukaian bagi perusahaan berbilang negara terbesar dan paling menguntungkan ke tempat di mana pelanggan mereka berada serta melaksanakan sebuah kadar cukai korporat berkesan minimum yang dipersetujui di peringkat antarabangsa bagi perusahaan berbilang negara besar tidak kira di mana mereka beroperasi."

Beliau menambah Singapura akan "terus menyokong huraian berdasarkan persetujuan berbilang pihak yang bersandarkan prinsip ekonomi yang baik, menggalak ketentuan cukai dan memastikan persaingan yang adil dalam semua bidang kuasa".

Encik Wong juga berkata peraturan baru itu tidak seharusnya "secara tidak sengaja melemahkan insentif untuk perniagaan melabur dan berinovasi".

Kementerian Kewangan dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) akan membuat perubahan yang diperlukan kepada sistem cukai korporat Singapura apabila satu persetujuan global dikecapi berhubung rangka kerja itu.

Encik Wong berkata perubahan itu akan dilakukan "dalam rundingan rapat bersama perniagaan dan pakar bidang cukai".

Beliau menambah Singapura juga akan terus memperkukuhkan kepercayaan, kebolehpercayaan dan integriti - sifat-sifat yang menjadikannya menarik untuk "kegiatan ekonomi yang besar" - bagi mewujudkan pekerjaan serta peluang yang baik untuk rakyat Singapura.

"Daya saing keseluruhan kami tidak pernah berdasarkan pada pencukaian sahaja," kata menteri itu. "Ia adalah tentang memastikan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan dan usahawan untuk berkembang maju." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan