Skip to main content

Kewangan

Ryanair, Wizzair didenda di Itali atas dasar bagasi kabin

Pihak berkuasa Itali pada Khamis (21 Feb) mengenakan denda terhadap syarikat penerbangan tambang murah Ryanair dan Wizzair berhubung dasar bagasi kabin.

Anggaran Waktu Membaca:
Ryanair, Wizzair didenda di Itali atas dasar bagasi kabin

(Gambar: Alberto Pizzoli/AFP)

Diterbitkan : 22 Feb 2019 12:11PM Dikemas Kini : 22 Feb 2019 12:15PM

MILAN: Pihak berkuasa Itali pada Khamis (21 Feb) mengenakan denda terhadap syarikat penerbangan tambang murah Ryanair dan Wizzair berhubung dasar bagasi kabin.

Kedua-dua syarikat penerbangan itu membenarkan beg-beg kecil disimpan dalam kabin secara percuma jika ia boleh disimpan di bawah tempat duduk di bahagian depan penumpang.

Beg-beg lebih besar sehingga 10 kilogram dikenakan yuran bagasi atau yuran berdasarkan pas masuk kapal terbang.

Ryanair didenda AS$3.4 juta (S$4.6 juta) dan Wizzair AS$1.1 juta (S$1.5 juta).

Agensi bagi mencegah persaingan tidak adil di Itali menyatakan bahawa kebanyakan penumpang dijangka melakukan perjalanan dengan membawa beg yang lebih besar dan dengan mengenakan bayaran tambahan antara AS$5.67 (S$7.68) hingga AS28.35 (S$38.39), kedua-dua syarikat menaikkan harga tiket dengan cara yang "tidak telus".

Setelah Ryanair mengumumkan dasar beg kabin baru syarikatnya pada Ogos, para pengawal selia Itali mengarahkan syarikat penerbangan itu - serta syarikat penerbangan Hungary Wizzair - untuk menggantung langkah tersebut, sambil menyatakan bahawa langkah sedemikian memperdaya para penumpang dan mempengaruhi persaingan, lebih-lebih lagi memandangkan syarikat-syarikat lain tidak mengenakan sebarang bayaran bagi bagasi kabin.

Ryanair bagaimanapun menolak keputusan pihak berkuasa Itali, sambil menyatakan bahawa dasarnya telus dan dapat membantu para penumpang kerana ia mempercepatkan proses menaiki pesawat.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita