Skip to main content

Kewangan

Rupiah merosot ke paras terendah: Indonesia perhebat usaha stabilkan harga, bekalan makanan

Anggaran Waktu Membaca:
Rupiah merosot ke paras terendah: Indonesia perhebat usaha stabilkan harga, bekalan makanan

Mata wang rupiah. (Gambar: Bay Ismoyo/AFP)

Diterbitkan : 09 Jun 2026 09:36AM
JAKARTA: Rupiah dibuka sekitar 18,170 berbanding dolar Amerika Syarikat pada Selasa (9 Jun) selepas mata wang Indonesia itu mencatat paras terendah dalam sejarah sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Dalam laporan AFP baru-baru ini, rupiah Indonesia mencecah paras melebihi 18,000 berbanding sedolar Amerika buat pertama kali pada Khamis (4 Jun).

Ini sedang negara itu terkesan oleh lonjakan kos tenaga, sedang para Ahli Parlimen meluluskan satu rang undang-undang yang memperluaskan pengawasan terhadap bank pusat, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kebebasannya.

Ini meskipun bank Indonesia sudah mengambil langkah-langkah untuk menyokong mata wang tersebut, yang terus tertekan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keadaan ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.

Pasaran saham Indonesia pula merosot hampir empat peratus dan kehilangan kira-kira sepertiga daripada nilainya sepanjang 2026.

STABILKAN HARGA MAKANAN

Bagi menangani kemerosotan itu, pemerintah Indonesia terus memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga kekal berpatutan menerusi pemantauan berterusan bagi menghadapi kesan kelemahan nilai rupiah berbanding dolar Amerika Syarikat terhadap sektor makanan negara itu.

Timbalan Penganekaragaman Konsumsi dan Keamanan Pangan (Kepelbagaian Konsumsi dan Keselamatan Makanan) di Badan Pangan Nasional (Bapanas), Andriko Noto Susanto, berkata pemerintah Indonesia akan terus memantau pelbagai perkembangan yang berpotensi mempengaruhi keadaan makanan negara bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga terus terpelihara.

“Jadi terdapat pelbagai usaha yang dilakukan oleh pemerintah, dan perkara ini (kelemahan rupiah) sememangnya dipantau. Sasaran kami adalah menstabilkan bekalan dan harga makanan,” katanya ketika ditemui di luar sambutan Hari Keamanan Pangan Sedunia 2026 (Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2026) di pejabat Bapanas di Jakarta pada Isnin (8 Jun), seperti dinukil ANTARA.

Encik Andriko berkata langkah pemantauan oleh pemerintah merupakan sebahagian daripada usaha pemerintah untuk memastikan masyarakat terus mempunyai akses kepada bekalan makanan yang mencukupi pada harga yang berpatutan di seluruh negara.

Bapanas menegaskan bahawa matlamat utama pemerintah ialah mengekalkan kestabilan bekalan dan harga makanan secara berterusan, sama ada di peringkat pengeluar mahupun pengguna, supaya tidak berlaku ketidaktentuan yang boleh merugikan kedua-dua pihak.

Kestabilan makanan yang dimaksudkan merangkumi keterjaminan bekalan yang mencukupi di pasaran serta memastikan harga kekal pada paras yang munasabah bagi semua pihak yang terlibat dalam rantaian industri.

“Stabil bermaksud bekalan yang stabil dan harga yang stabil, sama ada di peringkat pengeluar mahupun pengguna, dan itulah yang terus kami usahakan,” tegasnya.

Pemerintah juga terus memberi perhatian kepada harga komoditi di peringkat pengeluar bagi memastikan peladang dan pemain industri makanan terus memperoleh pulangan ekonomi yang menguntungkan.

Dalam laporan Bloomberg News, rupiah sudah susut lebih 7 peratus tahun ini dan menjadi mata wang berprestasi paling lemah di Asia, sedang perang antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran menyebabkan harga minyak global melonjak.

Ketua Ahli Ekonomi Permata Bank, Josua Pardede, berkata kadar pertukaran 18,000 rupiah bagi setiap dolar Amerika Syarikat merupakan satu “paras psikologi” bagi pelabur pasaran.

Menurut beliau kepada AFP, kelemahan mata wang itu didorong oleh permintaan tinggi terhadap dolar Amerika menyusuli lonjakan harga minyak serta lebihan dagangan yang semakin mengecil.

Indonesia merupakan pengimport bersih minyak dan ia terkesan oleh kos minyak mentah yang tinggi.

Namun pemerintah tetap bertegas untuk mengekalkan harga bahan api bersubsidi pada kadar semasa.

Sehubungan itu, dalam nukilan laporan Reuters, gabenor bank pusat Indonesia dan menteri kewangannya pada Sabtu (7 Jun) bersetuju untuk meningkatkan pulangan aset Indonesia bagi menarik semula aliran masuk pelaburan portfolio dan menyokong nilai rupiah.

Bank Indonesia dan Kementerian Kewangan akan “meningkatkan daya tarikan pulangan” aset Indonesia supaya “aliran masuk pelaburan portfolio kembali” ke negara itu, kata Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo dalam sidang media di Bangunan Parlimen.

Bagaimanapun, Encik Warjiyo tidak memberikan sebarang perincian mengenai pelan tersebut.

APA KESANNYA?

Kos sara hidup meningkat

Ahli Ekonomi Kanan Universiti Paramadina, Wijayanto Samirin, berkata kelemahan nilai rupiah akan mencetuskan inflasi import iaitu inflasi yang berpunca daripada kenaikan harga barangan import.

Akibatnya, kos sara hidup rakyat berpotensi meningkat, termasuk bagi penduduk di kawasan luar bandar.

“Inflasi import akan berlaku, kos sara hidup akan meningkat, termasuk bagi mereka yang tinggal di desa,” kata Encik Wijayanto kepada Kompas.com.

Menurut beliau, kenaikan harga bukan sahaja melibatkan barangan import, malah boleh merebak ke pelbagai keperluan harian yang bergantung kepada bahan mentah atau komponen dari luar negara.

Ansuran pinjaman mungkin meningkat

Encik Wijayanto menjelaskan bahawa kelemahan rupiah juga berpotensi mendorong kenaikan kadar faedah pinjaman sebagai respons kepada dasar kadar faedah Bank Indonesia.

Sekiranya perkara itu berlaku, rakyat Indonesia yang mempunyai pinjaman atau komitmen ansuran bulanan mungkin berdepan beban pembayaran yang lebih tinggi.

“Kos ansuran juga akan meningkat disebabkan kenaikan kadar faedah pinjaman sebagai respons kepada peningkatan kadar dasar Bank Indonesia (BI Rate),” katanya.

Peluang pekerjaan mungkin berkurangan

Pada masa yang sama, ketidaktentuan nilai tukar mata wang menyebabkan sektor perniagaan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan perniagaan.

Menurut Encik Wijayanto, turun naik nilai rupiah boleh menyebabkan syarikat menangguhkan rancangan pengembangan dan pelaburan baharu.

“Pada masa yang sama, ketidaktentuan nilai rupiah juga menyebabkan dunia perniagaan memperlahankan pengembangan mereka,” katanya, seperti dinukil Kompas.com.

Jika keadaan itu berterusan, syarikat-syarikat mungkin mengurangkan pengambilan pekerja baharu, sekali gus mengehadkan peluang pekerjaan.

Harga barang dan cukai mungkin meningkat

Encik Wijayanto turut mengingatkan bahawa jika kelemahan rupiah berlanjutan, tekanan terhadap ekonomi akan menjadi lebih besar.

Harga pelbagai barangan berpotensi meningkat, manakala pemerintah mungkin berdepan tekanan fiskal yang lebih berat.

Dalam keadaan tertentu, pemerintah mungkin menimbangkan pelarasan dasar termasuk meningkatkan hasil cukai.

Selain itu, pelbagai program subsidi dan bantuan sosial juga berpotensi terjejas sekiranya kedudukan fiskal pemerintah menjadi semakin lemah.

“Defisit fiskal di peringkat daerah yang dijangka berlaku tahun ini akan menjejaskan perbelanjaan pemerintah tempatan, termasuk pengurangan kakitangan kontrak,” katanya.
Sumber : AGENCIES/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita