Robinsons tutup 2 cawangan terakhir di Singapura kerana permintaan lemah
Robinsons akan menutup dua gedung terakhirnya di Singapura terletak di The Heeren dan pusat beli-belah Raffles City setelah operasinya terjejas oleh permintaan yang lemah dan pandemik COVID-19, kata gedung itu pada Jumaat (30 Okt).
SINGAPURA: Robinsons akan menutup dua gedung terakhirnya di Singapura terletak di The Heeren dan pusat beli-belah Raffles City setelah operasinya terjejas oleh permintaan yang lemah dan pandemik COVID-19, kata gedung itu pada Jumaat (30 Okt).
Robinsons telah memulakan proses pembubaran untuk kedua-dua gedung dan para pekerja telah dimaklumkan mengenai keadaan tersebut, tambah syarikat itu.
Pembubar sementara kini akan mengawal aset syarikat dan menilai pilihan-pilihan untuk nilai yang dapat dicapai agar memaksimumkan pulangan kepada pemberi pinjaman.
"Tertakluk kepada pengesahan, para pembubar berharap gedung-gedung itu akan terus dibuka untuk minggu-minggu mendatang bagi memudahkan penjualan takhir bagi pelanggan sebelum ia ditutup," menurut kenyataan media Robinsons.
Para pekerja dimaklumkan mengenai proses pembubaran pada Jumaat dan diberi jaminan bahawa para pembubar sementara juga akan berusaha untuk memaksimumkan pulangan kepada mereka, tambah Robinsons.
Pihak pengurusan Robinsons juga memastikan bahawa para pekerja disokong dengan bayaran selaras dengan Akta Pembubaran, Penyusunan Semula dan Ketakmampuan Bayar, tambahnya.
"Tambahan lagi, bayaran ini akan dilakukan selaras pusingan bayaran gaji berikutnya; jauh lebih awal berbanding tempoh proses pembubaran biasa yang biasanya mengambil masa berbulan-bulan," menurut gedung itu lagi.
Cameron Duncan dan David Kim dari KordaMentha dilantik sebagai pembubar sementara.
Pengurus Besar Kanan Robinsons Danny Lim berkata bahawa perubahan landskap pengguna menyukarkan gedung serbaneka itu untuk "berjaya dalam jangka masa panjang". Cabarannya diburukkan oleh pandemik COVID-19, sehingga Robinsons tidak dapat meneruskan operasi.
"Kami menyesali keputusan ini hari ini. Meskipun menghadapi cabaran dalam industri baru-baru ini, pasukan Robinsons terus berusaha memajukan jenama ini," katanya.
"Kami menikmati kejayaan selama bertahun-tahun, dan adalah suatu penghormatan bagi Robinsons untuk diberi peluang berkhidmat kepada pasaran Singapura. Saya berterima kasih atas dedikasi pasukan kami, dan atas sokongan yang ditunjukkan oleh pelanggan kami selama ini."
Dua kedai Robinsons di Malaysia - Shoppes di Four Seasons Place dan The Gardens Mall - juga akan melalui proses pembubaran yang serupa.
Pada awal Mei, Robinsons juga mengumumkan bahawa salah satu cawangannya di Jem akan ditutup pada Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.