Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Rizab Persekutuan AS umum naikkan kadar faedah 75 mata asas bagi tangani inflasi

Anggaran Waktu Membaca:
Rizab Persekutuan AS umum naikkan kadar faedah 75 mata asas bagi tangani inflasi

(Gambar: Saul Loeb/AFP)

Diterbitkan : 28 Jul 2022 02:57PM Dikemas Kini : 28 Jul 2022 02:57PM

WASHINGTON: Rizab Perseketuan menaikkan kadar faedah semalaman sebanyak tiga suku peratusan mata pada Rabu (27 Jul) dalam usaha untuk melegakan inflasi yang paling tinggi sejak tahun 1980an. 

Ketua Bank Pusat Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell turut berkata, kenaikan "luar biasa tinggi" itu mungkin sesuai dilaksanakan sekali lagi pada September jika tekanan harga masih belum mereda secukupnya, lapor Reuters. 

"Inflasi kekal tinggi, mencerminkan ketidakseimbangan bekalan dan permintaan berhubung kait pandemik, harga makanan dan tenaga lebih tinggi, serta tekanan harga yang lebih meluas," menurut Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutan (FOMC), yang menentukan kadar faedah sedang ia menaikkan kadar dasar kepada lingkungan antara 2.25 hingga 2.50 peratus. 

FOMC menambah, ia terus "meneliti" sebarang risiko inflasi. Demikian ditekankan Encik Powell semasa sidang media menyusuli pengumuman keputusan sebulat suara bagi dasar tersebut, sambil menambah ia "diperlukan" untuk menurunkan inflasi. 

Pegawai Persekutuan "sedia maklum" kesusahan yang dialami warga Amerika disebabkan inflasi, termasuk mereka yang sumbernya terhad, kata Encik Powell, dan mereka tidak akan mengurangkan usaha mereka sehingga melihat "bukti yang meyakinkan" bahawa inflasi sedang menurun. 

Inflasi melambung tinggi tahun ini sehingga mencecah rekod tertinggi dalam masa empat dekad dan apabila diukur oleh unjuran persekutuan, ia tiga kali lebih tinggi berbanding sasaran bank pusat itu, iaitu dua peratus.

"Memastikan kestabilan harga adalah sesuatu yang kami harus lakukan," kata Encik Powell. "Kami tidak boleh gagal berbuat sedemikian." 

Walaupun pertumbuhan pekerjaan kekal "kukuh", para pegawai menarik perhatian dalam kenyataan dasar baru itu bahawa "penunjuk perbelanjaan dan pengilangan sudah melemah," sekali gus menunjukkan bahawa kenaikan agresif kadar yang dikenakan sejak Mac sudah mula menggigit.

Namun, Encik Powell menegaskan bahawa ekonomi masih kukuh. 

"Saya tidak rasa AS kini sedang mengalami kemelesetan," katanya, menukil kadar pengangguran yang masih menghampiri kadar terendah dalam tempoh setengah abad, pertumbuhan gaji yang stabil dan pengambilan pekerja. 

Sekalipun demikian, menurunkan kadar inflasi kepada sasaran persekutuan "berkemungkinan melibatkan tempoh ekonomi di luar trend pertumbuhan, dan keadaan pasaran buruh yang melemah, tetapi hasil sedemikian diperlukan untuk memulihkan kestabilan harga dan mewujudkan sekitaran yang sesuai untuk mencapai pengambilan pekerja yang maksimum dan harga stabil dalam jangka panjang."

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa