Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Rizab Persekutuan AS umum kenaikan tertinggi kadar faedah sejak 1994

Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengumumkan kenaikan paling agresif kadar faedah dalam hampir 30 tahun, sekali gus menaikkan tanda aras kadar pinjaman sebanyak 0.75 peratusan mata pada Rabu (15 Jun) sedang ia bergelut dengan lonjakan inflasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Rizab Persekutuan AS umum kenaikan tertinggi kadar faedah sejak 1994

(Gambar: Jim WATSON/AFP)

Diterbitkan : 16 Jun 2022 10:16AM Dikemas Kini : 16 Jun 2022 10:16AM
WASHINGTON: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengumumkan kenaikan paling agresif kadar faedah dalam hampir 30 tahun, sekali gus menaikkan tanda aras kadar pinjaman sebanyak 0.75 peratusan mata pada Rabu (15 Jun) sedang ia bergelut dengan lonjakan inflasi.

Kenaikan 0.75 peratusan mata lebih tinggi daripada biasa itu dilaksanakan sedang Rizab Persekutuan berada di bawah tekanan hebat untuk mengawal harga gas dan makanan yang melambung tinggi, sehingga menyebabkan jutaan rakyat Amerika tergapai-gapai untuk mencukupkan perbelanjaan.

Keadaan itu juga menyebabkan rating rakyat terhadap kepimpinan Presiden Joe Biden menjunam.

Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell berkata ia "penting" untuk menurunkan inflasi dan para penggubal dasar "mempunyai kedua-dua wadah dan keazaman yang kita perlukan untuk memulihkan kestabilan harga bagi pihak keluarga-keluarga Amerika."

Beliau menekankan matlamatnya adalah untuk mencapai kadar inflasi rendah tanpa menjejas ekonomi AS namun akur akan sentiasa ada risiko jika melaksanakannya secara berlebihan.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan, yang menetapkan dasar Rizab Persekutuan, menaikkan tanda aras kadar pinjaman kepada julat antara 1.5 dengan 1.75 peratus, naik dari sifar pada awal tahun ini.

Ia adalah kenaikan 75 peratusan mata yang pertama sejak November 1994.

Encik Biden menyokong usaha Rizab Persekutuan dan mengharapkan kejayaan kerana parti Demokratnya berdepan kemungkinan hilang kuasa Kongres dalam pilihan raya penting pertengahan penggal pada November.

Beliau menuding jari ke arah pihak pembangkang Republikan kerana menyekat rang undang-undang yang bertujuan membantu mengurangkan kos dan melegakan kekangan bekalan.

Bursa saham AS Wall Street ditutup lebih tinggi menyusuli komen Encik Powell.
Sumber : AFP/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa