Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Restoran sudah boleh terima pelanggan, tapi memeriksa status vaksinasi jadi cabaran besar

Sebahagian restoran mengadu 'pening kepala' sejak makan di luar dibenarkan semula. Ini kerana kerja-kerja memeriksa status vaksinasi pelanggan menimbulkan masalah-masalah lain pula. Ini pengalaman restoran Rumah Makan Minang...

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Walaupun restoran-restoran kini sudah dibenarkan menerima pelanggan untuk duduk makan sehingga lima orang, ia masih berdepan dengan pelbagai cabaran yang berkaitan dengannya.

Cabaran yang dihadapi termasuklah masalah yang timbul dalam usaha mematuhi pelbagai peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa untuk pelanggan duduk makan.

KAKITANGAN KHUSUS UNTUK PERIKSA STATUS VAKSINASI PELANGGAN

"Makan di sini?"
"Sudah divaksinasi?"

Demikian antara kata kunci yang kian lazim digunakan di banyak restoran sejak lima hari lalu, termasuk restoran Rumah Makan Minang, sebelum para pelanggan diberi lampu hijau untuk duduk makan.

Yang pasti, restoran-restoran kecil kini mendapati ia memerlukan lebih banyak kakitangan untuk mengendalikan tugas-tugas pemeriksaan status vaksinasi para pelanggan.

Bagi kakitangan restoran Rumah Makan Minang seperti Cik Nur Atikah Mohd Zin, 24 tahun, yang biasanya menjadi juruwang, dia kini dikerahkan pula untuk menyelaras proses memeriksa status vaksinasi para pelanggan.

Cik Atikah berkata: "Bila pelanggan beratur, mereka kadang-kadang tidak mengambil berat tentang SafeEntry dan kita harus sentiasa menasihati mereka untuk mengimbas SafeEntry, kalau ada token boleh imbas, periksa suhu badan dan jaga jarak selamat juga."

Kadangkala, Cik Atikah juga berasa serba salah apabila perlu menangani kerenah sesetengah pelanggan.

"Kadang-kadang ada juga pelanggan yang mengatakan 'Isteri saya sudah divaksin tetapi saya masih menunggu, jadi macam mana eh?'. Mereka mahu kita untuk fikirkan di mana mereka boleh makan dan ia membuatnya agak berat untuk kita," keluh Cik Atikah.

Di samping itu, Cik Atikah juga merasakan bahawa proses memeriksa status vaksinasi para pelanggan juga memakan masa agak lama.

TERIMA PELANGGAN SUDAH DIVAKSIN SEPENUHNYA ELAK KEKELIRUAN

Bagi restoran Rumah Makan Minang, ia hanya membenarkan pelanggan yang sudah divaksin untuk makan di sana sehingga lima orang semeja.

Semasa kru BERITAmediacorp berada di restoran itu siang tadi (14 Ogos), seorang pelanggan dilihat terpaksa ditolak kerana belum sempurna divaksinasi. Sempurna divaksinasi bermakna sudah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 dan sudah dua minggu melakukan dos keduanya.

Meskipun pelanggan yang belum divaksin boleh makan di cawangan F&B asalkan keputusan ujian praacara atau PET mereka negatif, restoran nasi padang itu masih belum bersedia menerima mereka.

Pengurus Operasi Rumah Makan Minang, Cik Nur Syahidah Mohd Zin, 35 tahun berkata: "Pada pendapat saya, amat mengelirukan terutama sekali bila para pelanggan ada yang sudah divaksin ada yang belum, itu yang mengelirukan untuk kita. Serba salah pun ada.

"Keadaan di kedai berjalan pantas, kalau terlalu banyak sangat prosedur yang perlu kami periksa, kita jadi keliru," tambah Cik Syahidah, menjelaskan mengapa restoran itu mengambil keputusan untuk hanya menerima pelanggan sudah selesai divaksin sahaja.

TUGAS BARU SATU MASALAH BUAT RESTORAN MAKAN MINANG

Memang benar, perniagaan di restoran itu meningkat sehingga 20 peratus sejak makan di luar dibenarkan pada 10 Ogos.

Namun demikian skop pekerjaan baru untuk memeriksa status vaksinasi para pelanggan sebenarnya menimbulkan pelbagai masalah kongsi Cik Syahidah lagi.

"Masalah kakitangan pekerja ini lebih dirasa pada waktu sibuk sebab semua orang ada tugas mereka sendiri.

"Kita perlu adakan satu orang sahaja untuk menjaga kerana pada masa yang sama kita masih dipantau oleh pekerja baju merah (Duta Jarak Selamat).

"Kadang-kadang memang tidak terurus, susah untuk kita kendalikan, mana nak jaga meja, mana nak jaga pelanggan kerana mereka keluar dan masuk dan ada yang tidak sabar menunggu.

"Apabila barisan beratur sudah memanjang atau orang mula ramai, kita harus pula adakan satu lagi pekerja untuk menjaga jarak selamat antara para pelanggan," cerita Cik Syahidah.

Mentelah lagi, Duta Jarak Selamat datang memeriksa sehingga tiga kali sehari, menurut Pengurus restoran Rumah Makan Minang, Encik Hazmi Zin.

Disebabkan cabaran sebegini, restoran itu akur bahawa keadaan lebih mudah untuk restorannya jika pelanggan hanya beli untuk 'bawa pulang makanan'.

"Kita akan bungkuskan dan para pelanggan boleh terus keluar. Dan ada juga khidmat online untuk buat pesanan," ujar Cik Syahidah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan