Skip to main content

Kewangan

RCEP akan timbang usulan tambah anggota baharu, perbaiki perjanjian dagangan

Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) yang disokong China akan menimbangkan usulan untuk menambah anggota baharu dan membincangkan cara-cara untuk memperbaiki aliran perdagangan apabila para pemimpinnya bertemu buat kali pertama dalam tempoh lima tahun pada Oktober, kata Menteri Perdagangan Malaysia pada Isnin (22 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
RCEP akan timbang usulan tambah anggota baharu, perbaiki perjanjian dagangan

Menteri Perdagangan Malaysia, Tengku Zafrul Aziz, semasa wawancara bersama Reuters di Kuala Lumpur, Malaysia pada 5 Mac 2025. (Gambar fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)

KUALA LUMPUR: Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) yang disokong China akan menimbangkan usulan untuk menambah anggota baharu dan membincangkan cara-cara untuk memperbaiki aliran perdagangan apabila para pemimpinnya bertemu buat kali pertama dalam tempoh lima tahun pada Oktober, kata Menteri Perdagangan Malaysia pada Isnin (22 Sep).

Malaysia merancang untuk mengadakan Sidang Puncak RCEP, blok perdagangan terbesar dunia, apabila ia menjadi tuan rumah kepada perhimpunan tahunan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Kuala Lumpur.

RCEP - yang merangkumi kesemua 10 anggota ASEAN serta China, Jepun, Korea Selatan, Australia, dan New Zealand - tidak mengadakan mesyuarat rasmi pemimpin sejak November 2020, apabila mereka menandatangani perjanjian perdagangan yang bertujuan untuk menurunkan tarif, meningkatkan pelaburan dan membolehkan pergerakan barangan yang lebih bebas di rantau ini.

RCEP dilihat oleh sesetengah penganalisis sebagai penampan terhadap tarif yang dikenakan oleh Pentadbiran Presiden Donald Trump. Mesyuarat pada Oktober bertepatan dengan lawatan Encik Trump ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Puncak ASEAN.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Zafrul Aziz berkata mesyuarat itu akan membolehkan para anggota untuk mencadangkan penambahbaikan kepada perjanjian perdagangan RCEP dan menimbangkan permintaan beberapa negara untuk menyertai perkumpulan tersebut.

"Kami mahu memberi tumpuan kepada isu yang akan membantu para anggota RCEP," kata Tengku Zafrul kepada Reuters dalam temu bual menjelang mesyuarat menteri ekonomi ASEAN minggu ini.

China menyeru negara-negara di rantau ini supaya menerima rangka kerja berbilang hala seperti RCEP untuk menangani kesan tarif Amerika.

Tengku Zafrul berkata memandangkan semua anggota ASEAN dan RCEP menyokong pendekatan berbilang pihak, beliau tidak bimbang sekirang China 'menguasai' mesyuarat itu.

"Untuk berlaku adil kepada Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN, malah anggota RCEP yang lain, mereka turut menegaskan perkara yang sama. Maksud saya, Korea, Jepun, New Zealand, Australia dan semuanya telah menyatakan pandangan mereka mengenai pendirian berbilang pihak," katanya.

"Jadi sama ada China akan mendominasi agenda itu, saya tidak fikir begitu, kerana tidak ada perkara baharu dalam kepercayaan kami terhadap prinsip tersebut."

Tarif Encik Trump telah menyaksikan cukai antara 10 peratus dan 40 peratus dikenakan ke atas barangan dari negara-negara Asia, dengan majoriti ekonomi utama ASEAN dikenakan kadar 19 peratus.

Tarif Amerika juga dijangka menjadi titik perbincangan utama semasa perhimpunan menteri ASEAN minggu ini, yang akan dihadiri oleh Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita