Rayuan Uber terhadap denda S$6.58 juta atas penggabungan dengan Grab ditolak
Rayuan yang dikemukakan oleh syarikat kereta sewa Uber terhadap denda S$6.58 juta yang dikenakan atas penggabungannya dengan bekas pesaingnya, Grab, pada 2018 sudah ditolak.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Rayuan yang dikemukakan oleh syarikat kereta sewa Uber terhadap denda S$6.58 juta yang dikenakan atas penggabungannya dengan bekas pesaingnya, Grab, pada 2018 sudah ditolak.
Demikian menurut Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) dalam kenyataannya semalam (13 Jan).
Menurut CCCS, pendapatan yang dijana daripada penjualan perniagaan Asia Tenggara syarikat kereta sewa Amerika itu kepada Grab sebanyak 27.5 peratus sahamnya menyebabkan "persaingan berkurangan dengan begitu ketara" dalam pasaran khidmat kereta sewa di negara ini.
Langkah itu juga melanggar seksyen 54 Akta Persaingan, tambah CCCS.
Lembaga Rayuan Persaingan (CAB) - yang mendengar rayuan yang dikemukakan terhadap keputusan CCCS - mengarahkan Uber supaya membayar kos berkaitan rayuan itu kepada CCCS. Jumlahnya bagaimanapun tidak dinyatakan dalam kenyataan media.
Pada September 2018, CCCS menyerahkan keputusan berkaitan penggabungan Uber-Grab setelah menjalankan semakan selama enam bulan, mengenakan denda lebih S$13 juta ke atas kedua-dua syarikat itu.
Ini setelah membuat keputusan bahawa perjanjian itu bersifat "antipersaingan". Grab tidak mempertikaikan keputusan tersebut dan membayar denda sebanyak S$6.42 juta dan mematuhi arahan CCCS.
Meskipun Singapura mempunyai rejim pemberitahuan penggabungan secara sukarela, CAB menyatakan itu tidak bermakna tiada risiko pada pihak-pihak yang melaksanakannya sebelum memaklumkan CCCS.
"Khususnya dalam keadaan di mana penggabungan itu tidak dapat dikembalikan kepada keadaan asal seperti kes Uber. Pihak-pihak yang bergabung itu bukan sahaja berisiko melanggar seksyen 54 Akta Persaingan tetapi juga berisiko berdepan dengan kemungkinan komitmen-komitmen yang ingin dilaksanakan pada masa akan datang ditolak oleh CCCS sebagai tidak mencukupi atau tidak sesuai."
Komitmen-komitmen itu mungkin termasuk memperbaiki, mengurangkan atau mencegah
apa sahaja pengurangan persaingan yang ketara atau kesan buruk yang timbul atau mungkin disebabkan oleh penggabungan yang sudah selesai, tambah CCCS.
Ketua Eksekutif CCCS, Sia Aik Kor berkata: "Keputusan CAB mengesahkan dapatan-dapatan utama yang dibuat oleh CCCS dalam Keputusan Pelanggaran dan menekankan mesej bahawa penggabungan yang mengurangkan persaingan di Singapura tidak dibenarkan."
Secara berasingan, CCCS menyatakan ia sedang aktif memantau kemungkinan berlaku penggabungan antara Grab dengan Gojek dan sudah meminta lebih banyak maklumat daripada kedua-dua firma.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.