Skip to main content

Kewangan

Rangkaian mengecas kenderaan elektrik BlueSG dibeli TotalEnergies

Rangkaian tempat mengecas kenderaan elektrik (EV)di merata negara sebanyak 1,500 yang dahulu milik BlueSG dibeli oleh TotalEnergies, menurut syarikat gergasi tenaga dari Perancis itu pada Rabu (28 Jul)

Anggaran Waktu Membaca:
Rangkaian mengecas kenderaan elektrik BlueSG dibeli TotalEnergies

Tempat mengecas kenderaan elektrik TotalEnergies (Gambar: TotalEnergies)

Diterbitkan : 28 Jul 2021 09:34PM Dikemas Kini : 28 Jul 2021 09:36PM

SINGAPURA: Rangkaian tempat mengecas kenderaan elektrik (EV)di merata negara sebanyak 1,500 yang dahulu milik BlueSG dibeli oleh TotalEnergies, menurut syarikat gergasi tenaga dari Perancis itu pada Rabu (28 Jul)

TotalEnergies - dahulu dikenali sebagai Total - menyatakan dalam satu kenyataan media bahawa pihaknya telah menandatangani perjanjian dengan konglomerat Perancis, Bollore Group, untuk membeli rangkaian mengecas Bluecharge.

TotalEnergies akan menguruskan dan mengendalikan rangkaian tersebut "setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa".

Bluecharge buat masa ini adalah rangkaian mengecas EV terbesar di Singapura, dengan 1,500 tempat mengecasnya itu membentuk sekitar 85 peratus keseluruhan tempat mengecas di sini, menurut TotalEnergies.

Tempat-tempat mengecas ini akan diubah jenama menjadi TotalEnergies, menurut seorang jurucakap kepada Mediacorp.

Presiden pemasaran dan perkhidmatan TotalEnergies, Alexis Vovk, menyifatkan rangkaian mengecas dalam kawasan bandar itu sebagai "inisiatif penting" syarikat itu di rantau Asia-Pasifik.

“TotalEnergies berbesar hati dapat memasuki pasaran Singapura untuk menyumbang kepada pembangunan huraian mobiliti yang lebih bersih dan andal di negara ini, " kata presiden pemasaran dan perkhidmatan TotalEnergies bagi Asia Pasifik dan Timur Tengah, Ting Wee Liang.

Pengumuman itu juga menandakan hasrat syarikat itu untuk menyumbang secara aktif kepada Pelan Hijau Singapura, tambahnya.

Sebagai sebahagian daripada Pelan Hijau Singapura, negara ini menyasarkan untuk menempatkan 60,000 tempat mengecas EV di merata negara menjelang 2030.

Buat masa ini TotalEnergies mempunyai 600 kakitangan di Singapura, yang menempatkan loji terbesarnya bagi bahan pelincir dan ibu pejabat globalnya bagi bahan bakar marin.

Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang harga pemerolehan rangkaian mengecas itu, TotalEnergies menjawab pihaknya tidak dapat "mendedahkan perincian tersebut".

Bagi pemandu EV dengan akaun Bluecharge sedia ada, harga pelan tidak akan berubah, tambah syarikat itu.

Menurut laman Bluecharge, pengguna EV membayar yuran langganan S$20 setahun. Mereka dikenakan bayaran S$1 sejam bagi tiga jam pertama dan S$2 bagi tempoh selanjutnya.

Perkembangan ini berlaku setelah Goldbell Group yang berpangkalan di Singapura mengumumkan pada Februari bahawa ia akan memperoleh khidmat kongsi kereta elektrik BlueSG dari Bollore Group pada harga yang tidak didedahkan.

Rangkaian mengecas EV BlueSG kemudian ditukar jenama kepada Bluecharge pada Mei.

TotalEnergies menyatakan ia tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai kerjasama dengan Goldbell buat masa ini.

BlueSG mulakan operasi di sini pada 2017, dengan kerjasama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) sebagai sebahagian usaha menjadikan sistem pengangkutan Singapura lebih mampan.

Pada 2018, pihak berkuasa Paris menamatkan khidmat kongsi kereta milik Bollore, Autolib, setelah operasi selama tujuh tahun, ekoran kerugian bernilai jutaan euro.

Dua tahun kemudian, Bollore menamatkan skim kongsi kereta BlueCity di London, atas sebab “saiz rangkaian yang terhad dan persekitaran saingan yang sengit". 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita