Rangka kerja pengurusan risiko COVID-19 diuji di 2 acara perintis perniagaan: STB
Rangka kerja pengurusan risiko untuk acara perniagaan bagi hingga 50 hadirin dibangunkan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB), dan akan diuji bersama dua acara perintis sebelum ia diperluaskan kepada acara-acara lain.
SINGAPURA: Rangka kerja pengurusan risiko untuk acara perniagaan bagi hingga 50 hadirin dibangunkan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB), dan akan diuji bersama dua acara perintis sebelum ia diperluaskan kepada acara-acara lain.
Acara urusan antara perniagaan (B2B) seperti mesyuarat, konvensyen, pameran dan pameran perdagangan ditangguhkan sejak Mac 2020 ekoran COVID-19.
STB dalam satu catatan media pada Rabu (22 Jul) menyatakan bahawa pihaknya sedang membuat persiapan bagi "penyambungan semula secara bersesuaian dan selamat" bagi acara B2B dalam beberapa bulan akan datang.
Rangka kerja pengurusan risiko perniagaan yang selamat dihasilkan selepas rundingan dengan pihak industri dan diselaraskan dengan amalan terbaik antarabangsa, kata STB.
Di bawah rangka kerja ini, para penganjur acara mesti mencapai lima hasil utama:
- Langkah-langkah kawalan jangkitan di setiap tahap perjalanan hadirin.
- Had bagi kepadatan orang ramai.
- Had bagi perhubungan rapat antara individu.
- Memastikan persekitaran yang selamat dan bersih.
- Bersedia untuk keadaan kecemasan berkaitan COVID-19.
Selain menerapkan amalan keselamatan dan kebersihan, STB menyatakan perniagaan MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) tempatan juga telah menimbangkan penggunaan teknologi untuk menyokong penciptaan acara perniagaan bersifat maya dan gabungan atau hibrid.
"Format gabungan dengan campuran interaksi bersemuka dan maya mungkin akan menjadi kebiasaan untuk acara perniagaan dalam masa terdekat," kata STB.
Rangka kerja ini akan diuji, kemungkinan pada dua acara gabungan, Persidangan Antarabangsa IEEE 2020 bagi Elektromagnet Komputasi dan Forum Maya MedTech Asia 2020.
Sejak Mac, Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa semua acara dan perhimpunan dengan 250 orang hadirin atau lebih pada satu-satu masa mesti ditangguhkan untuk mengurangkan risiko penularan tempatan COVID-19 .
Persidangan Antarabangsa IEEE 2020 bagi Elektromagnet Komputasi, yang awalnya dirancang untuk Mac, kini akan diadakan dari 24 Ogos hingga 26 Ogos manakala Forum Maya MedTech Asia 2020 akan diadakan pada 24 Sep.
Kedua-dua acara akan mempunyai jumlah paling ramai 50 peserta di tempat acara dan sekitar 1,000 peserta secara maya.
Dalam format gabungan itu, sesi akan disiarkan secara dalam talian untuk anggota delegasi menghadiri persidangan secara maya.
STB menambah bahawa jika kedua-dua acara berjalan lancar, pihaknya mungkin akan membenarkan acara serupa lain yang boleh melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat yang perlu, disambung secara beransur-ansur.
Untuk memberikan panduan lanjut kepada perniagaan, STB dan Enterprise Singapore juga bekerjasama dengan Persatuan Singapura bagi Penganjur Konvensyen dan Pameran untuk membangunkan peta hala tuju daya bingkas industri.
Pelan hala tuju itu memberi tumpuan kepada tiga matlamat; menetapkan piawai terbaik untuk langkah keselamatan acara baru, membangunkan model perniagaan tangkas dengan tumpuan pada keupayaan digital, dan membangunkan laluan untuk "pengembangan profesional dalam dunia selepas COVID-19".
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.