Ramalan GDP S'pura bagi 2022 kekal pada 3-5% selepas ekonomi catat pertumbuhan 7.6% tahun lalu
Singapura mengekalkan unjuran pertumbuhan tahun ini pada 3 hingga 5 peratus selepas data pada Khamis (17 Feb) menunjukkan ekonomi negara mencatat pemulihan pada 2021.

(Gambar: Edgar Su/Reuters)
SINGAPURA: Singapura mengekalkan unjuran pertumbuhan tahun ini pada 3 hingga 5 peratus selepas data pada Khamis (17 Feb) menunjukkan ekonomi negara mencatat pemulihan pada 2021.
Ekonomi Singapura berkembang 7.6 peratus tahun lalu, sebahagian besar dipacu oleh sektor perkilangan, kewangan dan insurans serta perdagangan borong, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan media.
Ini menandakan pertumbuhan setahun paling pantas sejak pertumbuhan 14.5 peratus pada 2010, sedang ekonomi bangkit semula daripada penguncupan 4.1 peratus pada 2020.
Bagaimanapun MTI menarik perhatian permintaan luar Singapura "merosot sedikit" sejak laporan terakhirnya pada November lalu, kerana banyak ekonomi mengetatkan sekatan bagi melawan penularan varian Omicron yang sangat mudah berjangkit.
Masalah bekalan global terus berlaku dan dijangka berterusan sepanjang separuh pertama tahun ini. Kegenjotan itu mungkin menyekat hasil pengeluaran perusahaan dan pertumbuhan dalam beberapa ekonomi luar dalam tempoh terdekat ini.
Pada masa yang sama, risiko ekonomi global meningkat, menurut MTI.
Ini termasuk ketidakpastian mengenai trajektori pandemik COVID-19 dan gangguan rantaian bekalan global, serta dasar kewangan lebih ketat yang dilaksanakan lebih pantas dari jangkaan dalam ekonomi-ekonomi lebih maju.
Harga tenaga juga berdepan "risiko lebih besar" di tengah-tengah keprihatinan berhubung bekalannya disebabkan ketegangan geopolitik semakin meningkat melibatkan Rusia dan Ukraine, serta di Timur Tengah serta keadaan cuaca yang sukar diramalkan.
Berhubung ramalan dalam negeri MTI menyatakan kadar vaksinasi yang tinggi di Singapura dan dos penggalak yang stabil dijangka dapat "memudahkan pelonggaran secara bertahap-tahap sekatan sempadan dan domestik".
"Di sebalik perkembangan ini, ekonomi Singapura dijangka terus berkembang pada tahun ini, walaupun unjuran bagi sektor-sektor yang lain kekal tidak seimbang," menurut MTI.
Data berasingan yang diterbitkan pada Khamis juga menunjukkan eksport bukan minyak dalam negeri(NODX) Singapura naik 12.1 peratus pada 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lalu, disebabkan pertumbuhan 4.3 peratus pada tahun sebelumnya, ekoran eksport produk elektronik dan bukan elektronik yang tinggi.
Bagi tahun ini, unjuran bagi NODX kekal pada 0 hingga 2 peratus, dengan pertumbuhan "dijangka menjadi stabil daripada asas yang lebih tinggi" sejajar dengan unjuran perdagangan dan ekonomi global, menurut Enterprise Singapore.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.