Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ramai batalkan tempahan 'staycation' di hotel kerana langkah sekatan baru COVID-19

Ramai batalkan tempahan 'staycation' di hotel kerana langkah sekatan baru COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Ramai batalkan tempahan 'staycation' di hotel kerana langkah sekatan baru COVID-19

Bilik di Marriott Tang Plaza di Orchard Road. (Gambar: Singapore Marriott Tang Plaza)

Diterbitkan : 21 May 2021 01:33AM Dikemas Kini : 21 May 2021 01:54AM

SINGAPURA: Pembatalan tempahan penginapan kian meningkat di beberapa hotel, disebabkan pengumuman minggu lepas mengenai setiap bilik hotel yang hanya boleh menampung sehingga dua orang tetamu ketika jumlah kes COVID-19 meningkat.

Kebanyakan hotel yang dihubungi Mediacorp juga menyatakan bahawa mereka menerima banyak pertanyaan dari para tetamu yang sudah menempah bilik-bilik semasa tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

"Wajarlah, menyusuli peraturan lebih ketat oleh pihak pemerintah, kebanyakan hotel akan menerima banyak pembatalan ataupun pengubahsuaian untuk tempahan 'staycation', khususnya jika tempahan itu termasuk lebih daripada dua orang yang tinggal di rumah yang berbeza," jelas seorang jurucakap untuk Marriot International.

"Trend ini juga diperhatikan di seluruh portfolio hotel-hotel Marriot Bonvoy di Singapura, walaupun ia belum menunjukkan kesan besar sejak beberapa hari kebelakangan ini."

Ada 11 hotel di bawah pengurusan Marriott Bonvoy, termasuk Hotel Singapore Marriott Tang Plaza, The St Regis Singapore, The Westin dan W Singapore Sentosa Cove.

Permintaan untuk perubahan tempahan juga berbeza, menurut jurucakap itu.

Contohnya, The Westin mendapati "pembahagiaan yang agak seimbang" antara para tetamu yang memilih untuk menangguhkan tempahan mereka dengan mereka yang memilih untuk meneruskan dengan 'staycation' mereka. Di W Singapore Sentosa Cove pula, mereka yang memilih untuk meneruskan tempahan "merupakan golongan minoriti", kata jurucakap itu.

"Berdasarkan apa yang kami lihat sejak langkah-langkah kewaspadaan dipertingkat diumumkan, kami menjangkakan pembatalan dan penangguhan penginapan akan berterusan jika jumlah kes di dalam masyarakat terus meningkat."

Pada 14 Mei, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengumumkan dalam satu garis panduan bahawa hotel-hotel tidak boleh membenarkan lebih daripada dua orang, baik tetamu hotel atau pelawat, berhimpun di sebuah bilik dalam sehari, kecuali jika mereka mempunyai alamat rumah yang sama.

Ini bermakna keluarga-keluarga yang mempunyai lebih daripada dua orang yang tinggal bersama boleh teruskan rancangan 'staycation' mereka. STB kemudian menjelaskan ketika menjawab soalan dari Mediacorp bahawa ahli-ahli keluarga harus berpecah kepada kumpulan-kumpulan terdiri daripada dua orang setiap satu ketika di luar bilik.

Ini selaras dengan langkah-langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) yang dikuatkuasakan pada 16 Mei, yang mengurangkan had perhimpunan daripada lima orang kepada dua orang.

Langkah-langkah baru ini "mengecewakan" tapi "sudah dijangka", menurut jurucakap dari Millenium Hotels and Resorts. Kumpulan syarikat itu mengendalikan Orchard Hotel, M Social Singapore, Grand Copthorne Waterfront, Copthorne King’s Hotel, M Hotel dan Studio M.

"Untuk penginapan 'staycation', kebanyakan pasangan akan meneruskan dengan tempahan mereka sementara tempahan keluarga kebanyakannya ditangguhkan hingga akhir tahun ini," jelas jurucakap itu.

"Mereka yang tarikh tempahannya jatuh pada pertengahan bulan Jun akan mengambil sikap tunggu-dan-lihat dahulu dan akan membuat keputusan menjelang tarikh rancangan mereka. Untuk masa ini, kami akan menumpukan perhatian kepada penginapan 'staycation' para pasangan dan akan terus mencari perniagaan korporat jangka panjang."

Yotel Singapore di kawasan Orchard mendapati "peningkatan yang sudah dijangka" dalam pembatalan, menurut pengurus utama Brendan Daly.

"Namun, ia bukan kenaikan mendadak semalaman seperti yang dijangkakan," tambahnya. "Produk kami lebih sesuai untuk pasangan dan keluarga, berbanding kumpulan besar jadi ini mungkin ada kaitan dengannya."

Hotel itu juga sudah menerima beberapa tempahan baru, tetapi ada kemerosotan lebih besar dalam tempahan baru berbanding pembatalan, kata Encik Daly. Dia juga berpendapat bahawa para tetamu mungkin menunggu sekatan-sekatan dilonggarkan sebelum menempah penginapan mereka.

Terdapat "pembahagiaan 50/50" antara pembatalan dengan penukaran tarikh dalam kalangan pelanggan yang menempah 'staycation' antara 16 Mei dengan 13 Jun yang menghubungi pihak hotel, tambahnya.

"Sekiranya anda mengimbangkan pembatalan atau penukaran tarikh dengan apa yang biasanya kami dapati dalam tempahan baru, maka keseluruhan tetamu yang akan meneruskan rancangan mereka merupakan kumpulan minoriti."

Hotel itu juga menjangkakan lebih sedikit orang akan membuat rancangan 'staycation' jika terdapat lebih banyak kes COVID-19 dalam masyarakat. "Dengan sekatan-sekatan yang melarang pelanggan untuk duduk makan di kedai F&B, ada kurang sebab untuk mengunjungi kawasan Orchard tempat hotel kami," kata Encik Daly.

Hotel-hotel Far East Hospitality juga mendapati peningkatan pada penukaran tempahan, menurut CEO Arthur Kiong. Syarikat itu mengendalikan jenama-jenama hotel Village, Quincy, Oasia dan Redezvous.

Hotel-hotel "belum menyaksikan tahap seperti biasa" bagi tempahan-tempahan 'staycation', baru "tetapi 'masih ada lagi permintaan" dalam tempoh ini, tambahnya.

Lebih banyak pertanyaan juga diterima daripada keluarga yang ingin menempah penginapan 'staycation', kata Encik Kiong. Hotel-hotel kumpulan syarikat itu juga sudah menyesuaikan diri kepada langkah-langkah baru dengan melancarkan pakej-pakej baru, seperti pengalaman menjamu selera di dalam bilik selain penambahan lain, tambahnya.

"Ini mungkin disebabkan oleh cuti sekolah bulan Jun yang akan datang dan keinginan mereka untuk berehat dari rutin bekerja dari rumah (WFH) dan pembelajaran di rumah (HBL) bagi menikmati percutian.

"Oleh kerana pelancongan ke luar negara tidak dibenarkan sekarang, penginapan 'staycation' adalah pilihan yang terbaik untuk memberi mereka peluang untuk berehat dan menghabiskan masa lapang bersama keluarga."

Hotel-hotel butik yang dihubungi Mediacorp hanya menerima pembatalan minimum, sementara lebih banyak tetamu yang memilih untuk mengubah tarikh penginapan mereka atau meneruskan penginapan mereka sahaja. Pengurus hotel butik Lloyd's Inn Kelvin Soh memberitahu Mediacorp bahawa pembatalan dan perubahan membentuk "hanya sebahagian kecil" penginapan 'staycation' yang ditempah untuk tempoh sebulan ini.

Sekitar 88 peratus tetamu yang sudah menempah bilik semasa tempoh sebulan ini memilih untuk meneruskan rancangan mereka sambil mengikuti peraturan had dua orang, kata Encik Soh.

"Kami jangkakan pembatalan akan berterusan jika kes-kes dalam masyarakat kian meningkat - ini perkara biasa kerana orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga," tambahnya.

"Namun, pada masa yang sama, dengan sekatan-sekatan yang membenarkan keluarga yang tinggal bersama (dan pasangan) dua orang untuk meneruskan penginapan 'staycation', kami mungkin masih akan lihat tempahan-tempahan 'staycation' terus laris."

Hotel butik mewah Naumi Singapore "bimbang" apabila sekatan-sekatan baru diumumkan pada 14 Mei, kata pengurus besar Viri Kaur, dengan menambah bahawa hotel itu menerima "banyak panggilan" mengenai kemudahan-kemudahan yang tersedia semasa tempoh ini.

"Profil-profil utama dalam demografi hotel kami merupakan pasangan yang menginginkan percutian romantis dan kreatif ataupun sekumpulan sahabat yang menempah bilik untuk dua tetamu. Oleh itu, kami selesa mematuhi syarat dua tetamu di dalam setiap bilik itu dan kami percaya bahawa masih ada permintaan terpendam untuk penginapan terutama sekali dengan pelanjutan tarikh luput baucar-baucar SingaporeRediscovers," tambahnya.

Dua peratus daripada tempahan kami dibatalkan pada dua hari pertama selepas pengumuman kerana para tetamu tidak pasti jika penginapan 'staycation' masih dibenarkan, kata Cik Kaur.

'Dengan lebih banyak maklumat dan penjelasan yang diberikan, kami sekarang melihat trend positif untuk tempahan-tempahan untuk bulan ini. Mereka yang membatalkan tempahan kini lebih suka untuk menangguhkan rancangan penginapan 'staycation' mereka dan kami tidak sabar untuk menyambut mereka tidak lama lagi," tambahnya lagi.

Dua peratus daripada para tetamu yang sudah menempah penginapan 'staycation' di hotel itu pada bulan Mei juga menangguhkan tempahan mereka kepada selepas pertengahan bulan Jun. Demikian menurut Cik Kaur, yang menambah bahawa hotel itu sedang "menyesuaikan diri" dengan penukaran tarikh atau pembatalan permintaan.

"Kami jangkakan peningkatan dalam penukaran tarikh tempahan mereka, tapi bukanlah trend pembatalan kerana masyarakat tempatan kami masih lagi minat dengan aktiviti-aktiviti setempat dan lebih cenderung memilih hotel-hotel butik kerana kurang orang."  

Sumber : CNA/IA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan