Skip to main content

Kewangan

Qantas akan potong 850 pekerjaan bagi sesuaikan operasi dengan perkembangan pesat AI

Anggaran Waktu Membaca:
Qantas akan potong 850 pekerjaan bagi sesuaikan operasi dengan perkembangan pesat AI

Logo Qantas kelihatan pada bahagian ekor sebuah pesawat di lapangan terbang Sydney, Australia, pada 18 September 2025. (Gambar fail: Reuters/Hollie Adams)

Diterbitkan : 10 Nov 2026 12:43PM Dikemas Kini : 10 Nov 2026 12:45PM
Qantas to cut 850 jobs to adapt operations to rapid AI advances
  • Qantas announced on Nov 10 that 850 jobs, about 3 per cent of its 28,000 employees in Australia, would be cut gradually over the coming years.
  • The first round is expected by mid-2027 and will mainly affect staff in finance, procurement, human resources and marketing; some administrative work will be transferred to teams in India.
  • Chief Executive Officer Vanessa Hudson said a partnership with Accenture would update outdated internal systems and add data and AI expertise to adapt operations to industry changes.
  • Qantas has also begun the largest aircraft renewal programme in its history, after receiving 17 new aircraft in the last financial year and expecting up to 31 more, allowing it to begin retiring its A380s from 2028.
Dijana oleh AI

SYDNEY: Syarikat penerbangan Australia, Qantas, pada Selasa (10 Nov) mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 850 pekerjaan, sedang ia memindahkan sebahagian tugas pentadbirannya ke India dan memperluas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Syarikat penerbangan terbesar Australia itu menyatakan bahawa ia sudah memeterai perjanjian dengan firma perunding Accenture untuk memperbaharui sistem operasi dalaman yang menyokong urusan pentadbirannya.

Sebahagian tugas tersebut akan diambil alih oleh pasukan pekerja di India, namun jumlah pekerjaan yang akan dipindahkan ke sana belum dinyatakan.

Dalam emel kepada para kakitangannya, Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Vanessa Hudson, berkata pemotongan pekerjaan itu akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang beberapa tahun akan datang.

Pusingan pertama pemberhentian pekerja dijangka berlaku menjelang pertengahan 2027.

"Saya tahu berita ini sukar diterima oleh sesetengah pihak, dan saya memohon maaf atas ketidaktentuan yang ditimbulkannya," kata Cik Hudson.

Pemotongan 850 pekerjaan itu melibatkan kira-kira 3 peratus daripada 28,000 kakitangan Qantas di Australia.

Pada peringkat pertama, pekerja dalam bidang kewangan, perolehan, sumber manusia dan pemasaran dijangka terjejas.

Qantas menjelaskan bahawa langkah tersebut diambil bagi menyesuaikan operasinya dengan perubahan pesat dalam industri penerbangan akibat perkembangan teknologi AI.

Kerjasama dengan Accenture juga dijangka membantu Qantas memperbaharui sistem teknologinya yang lapuk dan memudahkan beberapa urusan pentadbiran syarikat.

"Menerusi kerjasama dengan syarikat luar, kami boleh mendapatkan kepakaran dalam bidang data dan AI yang kini menjadi rebutan pelbagai industri di seluruh dunia, kerana kami tidak mampu mengambil pekerja baharu dengan cukup pantas untuk memenuhi keperluan perubahan ini," kata Cik Hudson.

Beliau menambah bahawa banyak syarikat terkemuka di seluruh dunia sudah mencapai kemajuan besar dalam menggunakan teknologi dan AI untuk mengubah cara mereka bekerja.

"Kami tidak boleh terus berdiam diri tanpa melakukan perubahan," tegasnya.

Sementara itu, Qantas mengumumkan bahawa ia bakal memulakan program pembaharuan pesawat terbesar dalam sejarah syarikat tersebut.

Menurut laporan kewangan yang diumumkan awal tahun ini, Qantas Group menerima 17 pesawat baharu sepanjang tahun kewangan lalu.

Syarikat itu menjangkakan hingga 31 lagi pesawat baharu akan diterima dalam tempoh setahun akan datang.

Pelaburan tersebut akan membolehkan Qantas mula menghentikan penggunaan pesawat dua tingkat Airbus A380 secara berperingkat mulai 2028.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita