Putera Mahkota Saudi rasmikan bandar bebas karbon
Putera Mahkota Arab Saudi pada Ahad (10 Jan) mendedahkan rancangan membina sebuah bandar bebas karbon di NEOM, iaitu projek binaan utama yang pertama bagi zon perniagaan bernilai AS$500 bilion (S$664.3 bilion) yang bermatlamat untuk mempelbagaikan ekonomi pengeksport minyak terbesar di dunia itu.
Rancangan bagi bandar bebas karbon 'The Line' di kawasan NEOM Arab Saudi didedahkan pada 10 Jan 2020 (Gambar: NEOM)
AL ULA: Putera Mahkota Arab Saudi pada Ahad (10 Jan) mendedahkan rancangan untuk membina sebuah bandar bebas karbon di NEOM, iaitu projek binaan utama yang pertama bagi zon perniagaan bernilai AS$500 bilion (S$664.3 bilion) yang bermatlamat untuk mempelbagaikan ekonomi pengeksport minyak terbesar di dunia itu.
Putera Mohammed bin Salman dalam penampilan televisyen yang jarang-jarang sekali berkata bandar yang dikenali sebagai "The Line" seluas lebih 170km itu berupaya menampung sejuta penduduk dalam "bangunan-bangunan positif karbon yang bekalan tenaganya akan dijana oleh 100 peratus tenaga bersih" .
"Mengapa kita menggadaikan alam semula jadi semata-mata untuk pembangunan?," kata Putera Mohammed. "Kita perlu mengubah konsep bandar konvensional menjadi konsep bercorak futuristik."
Putera itu kemudian memberitahu para wartawan di bandar barat laut Al Ula bahawa projek itu adalah hasil persiapan selama tiga tahun. Beliau kemudian menambah bahawa prasarananya akan menelan belanja antara AS$100 bilion hingga AS$200 bilion (S$132.9 bilion hingga S$265.7 bilion).
Dana kerajaan, Public Investment Fund (PIF), adalah pelabur utama di NEOM, kawasan berteknologi tinggi seluas 26,500 km persegi di Laut Merah dengan beberapa zon, termasuk kawasan perindustrian dan logistik, yang dijangka siap pada 2025.
Tidak banyak yang diketahui mengenai NEOM sejak pertama kali ia diumumkan oleh Putera Mohammed pada 2017 sebagai tunggak Visi 2030 untuk mengurangkan penggantungan Arab Saudi pada pendapatan minyak mentah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pembinaannya akan dimulakan pada suku pertama 2021 dan bandar itu diharap akan menyumbang AS$48 bilion (S$63.8 bilion) kepada hasil dalam negeri kasar Saudi dan mewujudkan 380,000 pekerjaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.