Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pusat Penjaja Geylang Serai rancak semula dibanjiri pelanggan, Pusat Penjaja Haig Road masih sepi

Hari Ahad pertama (15 Ogos) makan di luar dibenarkan, pusat-pusat makanan di kawasan Geylang Serai mengalami suasana bercampur-campur. Pusat Penjaja Geylang Serai rancak semula dibanjiri pelanggan, tetapi Pusat Penjaja Haig Road masih sepi. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pusat Penjaja Geylang Serai hari ini (15 Ogos) sesak dibanjiri para pelanggan pada Ahad pertama makan di luar dibenarkan semula. Pusat Penjaja Haig Road bagaimanapun tidak serancak seperti biasa hari ini dengan sebilangan gerai masih ditutup.

Pusat makanan Haig Road itu sebelum ini diarah tutup dari 21 Julai hingga 4 Ogos lalu setelah kes-kes COVID-19 di kesan di sana.

BANJIR SELURUH PUSAT DENGAN PELANGGAN...

Semasa BERITAmediacorp berada di Pusat Penjaja Geylang Serai pagi tadi, kebanyakan meja kelihatan terisi dengan pelanggan dan suasananya kedengaran cukup riuh.

Sehingga 80-90% kedai makan dan minuman di pasar ini dibuka semula hari ini dengan barisan-barisan beratur sudah bermula sebelum jam 8 pagi lagi.

Para pelanggan pula rata-rata mengikut arahan untuk duduk dua orang semeja pada setiap masa.

Salah seorang pelanggan, Encik Ahmad Adnan, yang ditemui BERITAmediacorp berkata: "Saya suami isteri memang suka dan gembira kelonggaran diberikan dan kita bersyukur banyak-banyak. Sama ada dua atau lima orang ke, kita ambil kelonggarannya dengan sesungguhnya."

Seperti ramai lagi pelanggan di Pusat Penjaja Geylang Serai ini, mereka "mengisi minyak" dahulu (bersarapan) sebelum beratur untuk membeli-belah ke Pasar Geylang Serai pula.

Pelanggan bernama Cik Siti Aishah juga merupakan antara pelanggan yang singgah ke Pusat Geylang Serai buat pertama kali dalam beberapa minggu untuk menjamu makanan kegemarannya, bubur nasi dan laksa, bersama suaminya.

"Kita rindu makan di luar sebab selama ini makan makanan di rumah sahaja, agak bosan. Sekurang-kurangnya sekarang boleh ambil angin sekejap dan kita memang dari sahulu pergi ke Pusat Penjaja Geylang Serai," ujar Cik Aishah.

Untuk memantau keadaan di sini, Duta-Duta Jarak Selamat dan pegawai NEA juga kelihatan aktif menjalankan rondaan mereka demi memastikan peraturan makan di luar tidak dilanggar.

PUSAT PENJAJA HAIG ROAD SEDIKIT SEPI, TIDAK MERIAH

Kunjungan BERITAmediacorp ke Pusat Penjaja Haig Road bagaimanapun mendapati jumlah pelanggan tidak begitu ramai dan suasananya juga agak sepi pagi tadi.

Kerusi meja juga tidak penuh diisi oleh para pelanggan.

Dari sekitar 30 kedai makanan Halal yang ada di sana, sekitar 10 hingga 15 kedai masih ditutup setakat jam 10.00 pagi.

Para pemilik kedai yang BERITAmediacorp temui berkata para pemilik gerai tidak tergesa-gesa untuk membuka semula kedai mereka meskipun dibenarkan beroperasi setelah ditutup selama dua minggu demi mencegah penularan lanjut kes COVID-19.

Pemilik kedai Sinar Harapan berkongsi dengan kami: "Kedai ini saya baru buka hari ini. Banyak lagi kedai belum buka sebab mungkin mereka ingin lihat dahulu bagaimana rancak jumlah pelanggan yang ada hari ini."

Di Pusat Penjaja Haig Road, para pelanggan dan pemilik kedai perlu mengimbas SafeEntry sebelum dapat masuk ke kawasan itu. Ini suatu proses yang baru dilaksanakan bagi membendung sebarang penularan COVID-19.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa