Skip to main content

Kewangan

Pusat pemproses khas untuk anak kapal di klia2 hampir 50% siap

Pusat pemprosesan khas bagi para petugas syarikat penerbangan yang akan berlepas, yang sedang dibina di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2), hampir 50 peratus siap.

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat pemproses khas untuk anak kapal di klia2 hampir 50% siap

Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2). (Gambar: Lai Seng Sin/Reuters)

Diterbitkan : 19 Jan 2019 10:12AM Dikemas Kini : 19 Jan 2019 10:16AM

KUALA LUMPUR: Pusat pemprosesan khas bagi para petugas syarikat penerbangan yang akan berlepas, yang sedang dibina di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2), hampir 50 peratus siap.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat (18 Jan), Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), menyatakan projek itu dimulakan pada Oktober lalu dan pusat berkenaan dijangka mula beroperasi pada Mei ini.

“Inisiatif oleh MAHB ini disasarkan untuk mengoptimakan proses operasi syarikat penerbangan berkaitan, terutama AirAsia, syarikat penerbangan tambang murah utama yang beroperasi dari klia2,” menurut kenyataan itu.

Pusat berkenaan merangkumi proses bersepadu yang dikenali sebagai Pemeriksaan Kastam dan Imigresen, yang akan mengurangkan dengan ketara masa yang diambil oleh petugas syarikat penerbangan untuk sampai ke pintu pelepasan.

“Bagi penerbangan domestik, masa akan dikurangkan sebanyak 66 peratus sementara bagi penerbangan antarabangsa, petugas berkenaan akan jimat 40 peratus masa mereka untuk sampai ke pintu berlepas berbanding sekarang,” menurut MAHB.

Pusat pemprosesan khas itu akan membolehkan para petugas memintas bangunan terminal untuk sampai terus ke pintu pelepasan yang ditentukan.

Kerjasama sinergi antara MAHB dengan AirAsia itu, di samping agensi kerajaan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, akan memberikan kesan besar kepada syarikat penerbangan dari segi keberkesanan operasi yang lebih baik dan waktu penyelesaian, menurut pengendali lapangan terbang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata pihaknya akan terus memberikan sokongan dari segi pelbagai cara kepada rakan syarikat penerbangannya kerana ia yakin dalam bekerjasama untuk mencapai wawasan sama – iaitu menjadikan KLIA sebagai sebuah hab utama di rantau ini.

Encik Raja Azmi berkata MAHB juga komited membantu rakan syarikat penerbangannya untuk berkembang, sama ada melalui laluan baru atau tambahan penerbangan.

Dengan masa penyelesaian yang dipertingkatkan, AirAsia mencadangkan jadual penerbangan baru yang akan dapat meningkatkan kekerapan penerbangan syarikat berkenaan sehingga 18 penerbangan seminggu untuk beberapa laluan sedia ada.

Menurut Encik Raja Azmin, MAHB yakin pelaburan RM3 juta (S$1 juta) itu akan memberikan perkhidmatan yang baik kepada syarikat penerbangan berkenaan pada masa akan datang.

Tahun lalu, klia2 menerima 31 juta penumpang, iaitu peningkatan 5.3 peratus berbanding 2017, katanya. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita