Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pusat hiburan malam, cawangan karaoke minta bantuan kekal bertahan

Meskipun sekatan dilonggarkan secara bertahap-tahap sejak Jun lalu sedang Singapura beransur-ansur membuka semula ekonominya, segelintir perniagaan seperti dalam industri hiburan malam terus dilarang daripada beroperasi. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat hiburan malam, cawangan karaoke minta bantuan kekal bertahan

Perniagaan ditutup di sepanjang Clarke Quay semasa tempoh 'circuit breaker' pada 27 Mei 2020. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 24 Aug 2020 01:56PM Dikemas Kini : 24 Aug 2020 01:58PM

SINGAPURA: Meskipun sekatan dilonggarkan secara bertahap-tahap sejak Jun lalu sedang Singapura beransur-ansur membuka semula ekonominya, segelintir perniagaan seperti dalam industri hiburan malam terus dilarang daripada beroperasi.

Ini dijangka berterusan dengan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menarik perhatian dalam kenyataan menteri minggu lalu bahawa perniagaan sedemikian "tidak akan dapat dibuka dalam masa terdekat" atas pertimbangan keselamatan.

Beliau berkata Pemerintah akan membantu perniagaan-perniagaan ini untuk "beralih ke kegiatan lain atau memudahkan penutupan mereka", dengan lebih banyak perincian akan dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan.

Persatuan Perniagaan Hiburan Malam Singapura (SNBA) menyatakan sekatan yang kekal dilaksanakan itu membebankan industri berkenaan, dengan kira-kira sepertiga daripada 320 ahlinya masih tidak dapat membuka semula perniagaan.

Sekalipun bagi yang dibenarkan untuk menyambung semula operasi, kerana mempunyai lesen yang membenarkannya beroperasi sebagai perusahaan makanan dan minuman (F&B), masa depannya tidak tentu.

“Perniagaan yang boleh menyediakan makanan beroperasi tetapi sesetengah daripadanya tidak berfungsi dengan baik kerana sekatan kegiatan minum selepas jam 10,30 malam," kata Presiden SNBA, Joseph Ong, sambil menambah bahawa sekatan sedia ada ke atas hiburan secara langsung tidak membantu.

PERALIHAN YANG SUKAR

Perubahan dalam model perniagaan juga satu cabaran bagi cawangan karaoke, menurut para pengendali perniagaan itu yang juga perlu ditutup di bawah peraturan semasa.

Selain bimbang akan proses rumit untuk memohon bagi sebuah pertukaran lesen dan persaingan dalam industri lain, para pengendali tersebut berkata ada cabaran-cabaran yang unik kepada perniagaan mereka memandangkan premisnya dibahagikan kepada bilik-bilik privet.

“Apabila seluruh kedai anda dibangunkan sebagai sebuah tempat karaoke dengan bilik-bilik privet, mengubahnya kepada sesuatu yang lain seperti F&B, saya rasa adalah hampir mustahil," kata pemilik Cash Studio Family Karaoke, Caine Poon.

Encik Simon Sim, salah seorang pemilik Karaoke Times, turut akur dan berkata: "Saya ada 11 bilik di cawangan saya. Bagi sebuah dapur untuk berfungsi, berapa banyak bilik mesti saya robohkan? Apakah peralatan dapur yang akan saya perlukan dan sekalipun jika saya mendapatkan seorang profesional untuk membantu saya dan melabur puluhan ribu dolar dalam peralatan, adakah pelanggan akan memberi saya peluang?"

Encik Poon menegaskan bahawa risiko dijangkiti COVID-19 dalam sebuah bilik karaoke "tidak lebih tinggi" berbanding cawangan F&B atau malahan lebih rendah dengan kumpulan pelanggan "diasingkan oleh tembok batu dan bukannya jarak 1 meter".

Bagi Encik Sim, kehilangan pendapatan daripada perniagaan karaoke yang dikendalikannya - dibuka di pusat beli-belah City Square Mall pada Mei lalu - bermakna beliau terpaksa memberhentikan satu-satunya pekerjanya pada Mac. Setelah menggunakan simpanannya untuk menyara keluarga sepanjang beberapa bulan lalu, beliau merancang untuk menutup perniagaannya bagi mengurangkan kerugian.

“Pusat beli-belah biasanya memerlukan anda mencari penyewa baru jika anda mahu melepaskan unit anda sebelum pajakan berakhir. Jika tidak, anda perlu membayar baki sewa dalam tempoh pajakan anda," kata Encik Sim, yang mempunyai baki sekitar 18 bulan dalam perjanjian sewanya.

BANTUAN DIPERLUKAN

Dengan semua keprihatinan itu, para pemain industri berkata mereka memerlukan bantuan segera.

Pemerintah boleh menghulurkan bantuan dengan menyokong perniagaan terjejas dalam tiga aspek - untuk beralih, berehat atau keluar, saran Encik Ong daripada SNBA.

Bagi perniagaan yang nekad beralih ke kegiatan perniagaan lain, kata Encik Ong, geran untuk membantu mengurangkan kos serta perunding yang boleh menawarkan bimbingan akan berguna.

Pertukaran lesen sementara juga boleh diberikan demi membantu perniagaan menangani peraturan perlesenan, tambah Encik Poon.

Tempoh rehat yang panjang sehingga fasa ketiga pembukaan semula mungkin juga satu pilihan bagi sesetengah perniagaan, kata Encik Ong, sambil menambah bahawa bantuan sewa mugnkin perlu dalam keadaan sedemikian.

Akhir sekali, menutup perniagaan mungkin pilihan lebih baik bagi sesetengah pemilik perniagaan.

SNBA menyatakan langkah sokongan terkini Pemerintah, terutamanya lanjutan subsidi gaji sehingga Mac tahun depan, menunjukkan bahawa sekatan COVID-19 kemungkinan kekal dilaksanakan sehingga waktu itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan